Demi kasih, bapa mati kesejukan selepas selimuti anak

Astro Awani
Disember 13, 2019 02:35 MYT
Mendiang Prasarn dikelilingi keluarganya. -khaosod.co.th
"KASIH ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa."
Pepatah ini menggambarkan pengorbanan seorang ibu dan ayah demi membesarkan anak-anak walaupun terpaksa menanggung derita.
Demi kasih kepada anak-anak, seorang bapa di Thailand meninggal dunia dalam kesejukan setelah memberikan kesemua selimut kepada anak-anaknya.
Dalam kejadian yang berlaku di Bung Khong Long baru-baru ini, lelaki yang dikenali sebagai Prasarn Homethong ditemukan meninggal dunia pada awal pagi oleh anak perempuannya yang berusia 8 tahun.
Menurut polis, duda berusia 38 tahun itu tinggal bersama dua anak perempuannya yang dijaga sejak kecil.
"Rumahnya yang terbuka membuatkan udara sejuk mudah masuk ke dalam. Keluarga kecil ini hanya mempunyai tiga helai selimut.
"Sebelum ditemui mati, Prasarn membaluti tubuh anak-anaknya dengan selimut tebal sebelum tidur.
"Sedangkan dia hanya mengenakan baju nipis dan berseluar pendek," kata polis.
Thailand ketika ini dilanda musim sejuk sehingga Februari tahun depan disebabkan corak cuaca di China.
Daerah itu antara kawasan yang dilanda cuaca sejuk dengan suhu serendah 9 darjah Celsius.
#Bung Khong Long #kasih bapa #mati kesejukan #Prasarn Homethong #tiga helai selimut