Demi halau syaitan, paderi mahu sembur 'holy water' dari helikopter ke seluruh bandar
Agensi
Jun 29, 2019 16:51 MYT
Jun 29, 2019 16:51 MYT
Siri kes jenayah yang menumpahkan darah telah lama menghantui penduduk di Buenaventura iaitu sebuah bandar pelabuhan di Colombia.
Dalam rekod polis, sejumlah 51 kes bunuh dilaporkan dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini, dan ia melibatkan pelbagai jenayah antaranya, penderaan, pergaduhan antara geng kongsi gelap, kumpulan dadah dan sebagainya, lapor media tempatan.
Sementara pihak polis dilihat gagal menangani perkara tersebut, seorang paderi Roman Katolik bertaraf biskop, Ruben Dario Jaramillo Montoya percaya dengan kaedahnya sendiri – menyembur air suci (holy water) menggunakan helikopter ke seluruh bandar tersebut.
Kaedah itu, menurutnya, akan menghentikan kegilaan yang berlaku akibat hasutan syaitan, sekali gus menamatkan pertumpahan darah.
Ruben Dario dilaporkan sedang merancang untuk meminjam helikopter Tentera Laut Colombia untuk berbuat demikian. Jika semuanya berjalan lancar, air suci itu akan disemburkan pada 14 Julai ini.
Paderi itu sudah nekad melakukan penyemburan besar-besaran itu selepas menerima maklumat tentang berita pembunuhan terbaru di bandar berkenaan beberapa hari lalu.
Dalam kes berkenaan, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dibunuh, dan pihak polis telah menangkap bapa saudara mangsa atas dakwaan menyeksa serta membunuh.
"Di Buenaventura, kita perlu menghalau syaitan untuk mengembalikan ketenangan di sini. Selama ini sudah banyak aksi jenayah berlaku, perbuatan korupsi, kejahatan dan penyeludupan dadah.
“Ini (penyemburan air suci) akan menjadi demonstrasi awam yang hebat untuk keseluruhan komuniti. Air suci akan disemburkan supaya hal-hal yang tidak elok akan berakhir, dan syaitan akan lari dari sini,” ujar Ruben Dario dalam wawancara bersama media tempatan, seperti yang dipetik Newsweek.
Berita perancangan penyemburan air suci itu segera tersebar dan masyarakat tempatan sudah mula berspekulasi akan sesuatu yang lain.
Antaranya adalah perancangan itu dikatakan bukan melibatkan air suci dari gereja tetapi air dengan kandungan bahan kimia yang boleh menjejaskan fungsi biologi manusia, sekali gus mengawal populasi.
Untuk rekod, pada tahun 2010, nisbah kes bunuh di Buenaventura mencapai 175.2 kes bagi setiap 100.000 penduduk. JUmlah itu adalah 24 kali ganda lebih tinggi berbanding kes seumpamanya di New York, Amerika Syarikat.
#air suci
#bishop
#hasutan syaitan
#holy water
#jenayah
#paderi
#pertumpahan darah
#Ruben Dario Jaramillo Montoya