Demi alam sekitar dan budaya, Bali akan kenakan cukai pelancong AS$10

Astro Awani
Januari 19, 2019 05:37 MYT
Bali menerima sejumlah 5.7 juta pelancong asing pada 2017, yang kebanyakannya dari China dan Australia. - Gambar fail
Bali bersedia mengenakan cukai pelancong berjumlah AS$10 (RM41) ke atas pengunjung dari negara asing untuk membiayai program pemuliharaan alam sekitar dan budaya.
Pemerintah sudahpun merangka undang-undang untuk menguatkuasakan langkah tersebut, lapor Jakarta Post pada Jumaat, dengan memetik kata Gabenor Bali, Wayan Koster.
“Ini akan memberikan kami ruang fiskal yang lebih baik untuk menyokong pembangunan Bali,” ujarnya.
Bali menerima sejumlah 5.7 juta pelancong asing pada 2017, yang kebanyakannya dari China dan Australia.
Perangkaan pada 2018 pula dijangka melepasi 6 juta, apabila pulau peranginan itu menjadi tuan rumah acara bertaraf antarabangsa.
Bulan lalu, Bali mengharamkan plastik kegunaan tunggal seperti beg beli-belah, styrofoam dan penyedut minuman, dalam usaha mengurangkan sehingga 70 peratus sisa plastik di persekitaran marin pulau berkenaan dalam tempoh setahun.
Tambah Jakarta Post, penggubal undang-undang masih memperinci kaedah mengutip cukai pelancongan tersebut. Antara cadangan termasuk menambah caj levi pada harga tiket penrbangan atau mengutip bayaran itu di lapangan terbang.
“Para pelancong akan memahami peraturan baharu ini. Mereka akan gembira untuk membayarnya kerana ia akan digunakan untuk memperbaiki persekitaran dan budaya," ujar Wayan.
Pelancong domestik bagaimanapun terkecuali daripada cukai tersebut.
#alam sekitar #Bali #budaya #cukai pelancong #pelancong #pulau peranginan
;