Demam denggi ragut 316 nyawa di Indonesia pada Februari
Bernama
Mac 26, 2024 21:05 MYT
Mac 26, 2024 21:05 MYT
JAKARTA: Sekurang-kurangnya 316 orang maut akibat demam denggi berdarah di Indonesia setakat Februari tahun ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dante Saksono Herbuwono.
Antara daerah dan bandar dengan jumlah kematian tertinggi akibat demam denggi berdarah ialah Jepara, Kendal dan Blora di Wilayah Jawa Tengah serta Bandung dan Subang di Wilayah Jawa Barat.
Semasa mesyuarat Suruhanjaya IX di Parlimen, beliau berkata peningkatan kes demam denggi berdarah dipengaruhi oleh fenomena El Nino apabila nyamuk yang menyebarkan denggi menjadi lebih agresif dalam suhu yang lebih tinggi.
"Kami meramalkan peningkatan selanjutnya disebabkan perubahan dalam jumlah hujan dan fenomena El Nino yang semakin tidak menentu, berdasarkan laporan daripada agensi meteorologi, BMKG," kata Dante, seperti yang dipetik oleh stesen televisyen, tvOne.
Sehingga Februari lepas, 38,463 kes demam denggi berdarah direkodkan dengan Wilayah Sumatera Barat mempunyai jumlah kes demam denggi berdarah tertinggi di negara ini.
Ia diikuti rapat oleh Sumatera Selatan, Lampung, Bengkulu, Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur, Banten, Kalimantan Selatan, Kalimantan Timur, Kalimantan Tengah, Bali, Nusa Tenggara Barat, Gorontalo, Sulawesi Tenggara, Sulawesi Barat, Sulawesi Selatan, Jakarta dan Nusa Tenggara Timur.
Selain vaksin Dengvaxia dan Qdenga, pihak berkuasa kini sedang melaksanakan program menggunakan nyamuk yang disuntik bakteria Wolbachia untuk mengawal penularan denggi.
Indonesia mencatatkan jumlah kumulatif 114,720 kes demam denggi tahun lepas yang mengakibatkan 894 kematian.
-- BERNAMA