Delegasi AS sekali lagi ke Taiwan
Hakim Rahman
Ogos 15, 2022 12:00 MYT
Ogos 15, 2022 12:00 MYT
DELEGASI Kongres Amerika Syarikat (AS) kini berada di Taiwan bagi lawatan dua hari, di mana mereka akan bertemu dengan Presiden Tsai Ing-Wen.
Rombongan itu adalah kumpulan peringkat kedua tertinggi yang melawat Taiwan ketika mana ketegangan ketenteraan berterusan dengan China, dua minggu selepas lawatan Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi.
Kedutaan AS di Taipei memaklumkan, delegasi terbabit diketuai Senator Ed Markey diiringi empat anggota kongres lain yang disifatkan sebagai sebahagian daripada lawatan terbesar ke rantau Indo-Pasifik.
Delegasi ini akan bertemu dengan pemimpin kanan Taiwan bagi membincangkan mengenai hubungan AS-Taiwan, keselamatan serantau, perdagangan dan pelaburan, rantaian bekalan global, perubahan iklim serta beberapa isu berkepentingan bersama.
Pejabat Presiden Taiwan pula berkata, rombongan itu bertemu Tsai pada Isnin.
Pemimpin lain yang turut serta dalam lawatan itu adalah John Garamendi dari kumpulan kerja kawalan senjata dan senjata nuklear serta Don Beyer.
Delegasi itu juga dijangka bertemu dengan pemimpin dan ahli sektor swasta bagi membincangkan hal kepentingan bersama termasuk mengurangkan ketegangan di selat Taiwan serta mengembangkan kerjasama ekonomi dalam pelaburan dan semikonduktor.
Kenyataan Pejabat Presiden Taiwan berkata, ketika China meningkatkan ketegangan di selat Taiwan dan rantau ini dengan menjalankan latihan ketenteraan, Markey yang memimpin delegasi ke Taiwan sekali lagi menunjukkan sokongan kukuh kongres AS terhadap Taiwan.
Jelasnya, dengan kehadiran penggubal undang-undang itu, Taiwan akan memperkasakan lagi sokongan AS terhadap negara berkenaan berdasarkan akta hubungan Taiwan, penyataan bersama AS-China dan enam jaminan selain menggalakkan kestabilan serta keamanan di selat Taiwan.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara White House berkata, anggota kongres sudah mengadakan lawatan ke Taiwan sejak berdekad lalu dan akan terus berbuat demikian.
Ia menambah, lawatan itu sejajar dengan dasar satu China yang sudah lama wujud di Amerika Syarikat.
Menerusi dasar itu, AS mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Beijing, bukannya Taiwan, namun Washington tidak mengambil pendirian sama ada Beijing memiliki kedaulatan ke atas Taiwan selain terikat di bawah undang-undang bagi menyediakan Taiwan dengan cara untuk mempertahankan dirinya.