Delegasi peringkat tinggi Turki bakal berkunjung ke Rusia berhubung isu Syria
Bernama
Disember 27, 2018 16:36 MYT
Disember 27, 2018 16:36 MYT
Satu delegasi peringkat tinggi Turki akan berkunjung ke Rusia pada Sabtu bagi membincangkan isu Syria, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan jurucakap parti pemerintah, Omer Celik, dari Parti Keadilan dan Pembangunan Turki pada Rabu.
Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu, jurucakap presiden Ibrahim Kalin, Menteri Pertahanan Hulusi Akar dan ketua perisikan Hakan Fidan, adalah antara pegawai tinggi kerajaan yang berkunjung ke Moscow, kata Celik dalam satu sidang akhbar.
Menurut Celik, susulan perbincangan pada Sabtu, satu pelan akan dibuat untuk mengadakan pertemuan antara presiden Turki dan Rusia.
Sementara itu, satu jawatankuasa Turki akan turut berkunjung ke Washington tidak lama lagi, kata jurucakap tersebut sambil menambah bahawa Penasihat Keselamatan Nasional Amerika Syarikat (AS) John Bolton dijadualkan melawat Turki pada awal Januari.
Celik berkata Turki akan meneruskan koordinasi rapatnya dengan Iran dan Rusia pada masa akan datang susulan pengumuman berhubung pengunduran tentera AS.
Minggu lepas, Presiden AS Donald Trump telah mengumumkan satu keputusan mengejut untuk menarik balik semua tenteranya dari Syria susulan satu perbualan telefon dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.
Berikutan langkah yang diambil Trump itu, Erdogan berkata pada 21 Dis bahawa Turki telah memutuskan untuk menangguhkan operasi rentas sempadannya di kawasan-kawasan yang dikuasai militia Kurdish.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat
#Donald Trump
#Kurdish
#Mevlut Cavusoglu
#Omer Celik
#operasi rentas sempadan
#Recep Tayyip Erdogan
#Rusia
#Syria
#tarik balik
#tentera
#Turki