Delegasi OIC ke Selatan Thailand lihat gambaran sebenar masyarakat pelbagai agama hidup bersama

Bernama
Jun 13, 2024 23:45 MYT
Duta Besar Negara-negara Islam antara lain melawat Masjid Jamek Pattani sempena Lawatan Rasmi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di tiga wilayah Selatan Thailand iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat. - Bernama
KUNJUNGAN Duta-Duta dari negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke selatan Thailand telah membuka mata delegasi bahawa komuniti Muslim dan Buddha di negara ini dapat hidup bersama dengan aman.
Duta Thailand ke Arab Saudi, Darm Boontham berkata beliau menerima maklum balas positif daripada delegasi OIC yang telah melihat bagaimana dua komuniti dengan agama yang berbeza boleh hidup bersama.
"Ini membuat saya bangga apabila dua komuniti itu hidup dengan aman dalam satu kampung," katanya kepada pemberita selepas delegasi berkenaan melawat Muzium Warisan Budaya Islam dan Pusat Pembelajaran al-Quran, di sini pada Khamis.
Darm, yang juga wakil pemerhati tetap Thailand ke OIC di Riyadh, berkata beliau kagum dengan seni warisan Islam di Muzium al-Quran di Narathiwat.
Beliau percaya bahawa dengan meneliti situasi sebenar di selatan Thailand, negara-negara OIC dapat mempelajari lebih lanjut tentang kehidupan masyarakat pelbagai agama.
Program Lawatan Duta selama tiga hari, bermula pada Selasa, dianjurkan bersama oleh Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan dan Kementerian Luar Thailand dengan tujuan untuk mempamerkan kekuatan dan potensi pembangunan wilayah sempadan selatan negara itu.
Tiga wilayah paling selatan Thailand - Yala, Pattani, dan Narathiwat - dihuni oleh penduduk yang majoritinya beragama Islam.
Turut serta dalam program bertemakan "Meningkatkan Kualiti Hidup Rakyat" ini adalah duta-duta dari Brunei, Mesir, dan Iran, serta pegawai diplomatik dari Indonesia, Malaysia, Maldives, Nigeria, dan Uzbekistan.
-- BERNAMA
#oic #selatan thailand #masyarakat pelbagai agama #gaya hidup #Islam #delegasi oic
;