Delegasi NGO ASEAN kutuk tindakan PBB tolak usul gencatan senjata di Syria

Bernama
Oktober 9, 2016 20:45 MYT
Seorang lelaki mengangkat mayat seorang kanak-kanak selepas bandar di Aleppo diserang dalam serangan udara pada Sept lalu. - Gambar AFP/Thaer Mohammed
Delegasi badan bukan kerajaan (NGO) dari negara anggota ASEAN hari ini mengutuk tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menolak usul gencatan senjata dan usul membuka jalan masuk bagi penyaluran bantuan kemanusiaan kepada Syria.
Perkara itu disepakati 14 NGO dari negara anggota ASEAN setelah mengadakan perjumpaan khas hari ini bagi membincangkan isu berkaitan negara bergolak tersebut.
Antara NGO yang menyertai perjumpaan itu ialah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM); Sekretariat Ulama Assembly of Asia (SHURA); BAPA Relief, Singapura; Aqsa Working Group, Indonesia; Humanitarian and Justice Organisation Cambodia (HJO); serta Council for Humanitarian Networking of Sheikhul Islam, Thailand.
Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid berkata negara di seluruh dunia digesa supaya lebih sensitif terhadap penderitaan rakyat Syria selama enam tahun apabila PBB, yang sepatutnya menjadi pendamai, tidak dapat menggunakan kuasanya berhubung isu berkenaan.
"Disebabkan itu, kami NGO akan mengadakan protes serentak di seluruh bandar negara ASEAN supaya peperangan dan pergolakan dihentikan dan menuntut kedamaian di Syria.
"Kami juga akan menggembleng segala pengalaman NGO yang ada untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan menjelang musim sejuk di sana dan dijangka akan mula bergerak pada bulan depan," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Menurut Mohd Azmi lagi, delegasi tersebut juga menyasarkan untuk mengumpul dana sebanyak US$1 juta (RM4.2 juta) bagi misi bantuan keperluan terutamanya pada musim sejuk di Syria yang dijangka mencapai suhu sejuk puncak sekitar bulan Januari depan.
Beliau berkata perjumpaan tersebut juga bersetuju untuk memperluas jaringan media di seluruh negara ASEAN selain mengumpul 1,000 lagi NGO bagi memperkemaskan kempen perdamaian di Syria.
Susulan itu katanya, mereka akan menuntut pemimpin Arab Saudi, Amerika Syarikat dan Rusia supaya menghentikan peperangan proksi di Syria yang menyebabkan enam juta rakyat negara itu menjadi pelarian di dalam negara sendiri.
"Kita akan hantar surat ke PBB, OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) dan ASEAN berhubung isu ini bagi menuntut peranan mereka supaya mengambil langkah yang lebih proaktif membantu rakyat Syria dan hentikan pergolakan," katanya.
#ASEAN #HJO #MAPIM #PBB #SHURA #Syria
;