Delegasi Hamas ke Kaherah bincang gencatan senjata
Astro Awani
April 29, 2024 09:15 MYT
April 29, 2024 09:15 MYT
SATU delegasi Hamas akan melawat Kaherah untuk rundingan yang bertujuan untuk menguatkuasa gencatan senjata, pada Isnin.
Sumber pegawai kanan Hamas memberitahu, delegasi itu akan membincangkan cadangan gencatan senjata yang diserahkan oleh Hamas kepada pengantara Qatar dan Mesir serta reaksi balas Israel.
Dia bagaimanapun tidak mendedahkan butiran cadangan terbaharu itu.
Namun menurut sumber, Hamas dijangka bertindak balas terhadap cadangan genjatan senjata berperingkat terbaharu Israel yang disampaikan pada Sabtu lalu.
Sumber itu berkata, ini termasuk perjanjian untuk menerima pembebasan kurang daripada 40 tebusan sebagai pertukaran untuk membebaskan rakyat Palestin yang ditahan di penjara Israel.
Ini termasuk fasa kedua gencatan senjata yang merangkumi 'tempoh bertenang' serta tindak balas kompromi Israel terhadap tuntutan Hamas untuk gencatan senjata kekal.
Selepas fasa pertama, Israel akan membenarkan pergerakan bebas antara selatan dan utara Gaza serta pengunduran sebahagian tentera Israel dari Gaza.
Seorang lagi pegawai kanan Hamas memberitahu, delegasi itu akan terbang ke Kaherah dari ibu negara Qatar, Doha, diketuai oleh Timbalan Ketua Hamas di Gaza, Khalil al-Hayya.
Rundingan itu akan berlangsung antara delegasi Hamas, Qatar dan Mesir untuk membincangkan kenyataan kumpulan itu mengenai respons Israel terhadap cadangannya baru-baru ini.