Delegasi Hamas akan ke Mesir untuk dengar hasil rundingan gencatan senjata Gaza
Bernama
Ogos 24, 2024 05:40 MYT
Ogos 24, 2024 05:40 MYT
GAZA: Hamas pada Sabtu mengumumkan bahawa satu delegasi kumpulan itu akan tiba di Mesir pada waktu malam untuk "mendengar" hasil rundingan gencatan senjata Gaza di Kaherah, lapor Xinhua.
Lawatan delegasi ke Kaherah yang diketuai oleh pegawai kanan Hamas, Khalil al-Hayya, adalah berdasarkan jemputan daripada perantara Mesir dan Qatar, kata Ezzat al-Rishq, anggota Biro Politik Hamas, dalam satu kenyataan.
Ezzat mengesahkan komitmen Hamas terhadap apa yang dipersetujui pada 2 Julai, berdasarkan pengumuman Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu No. 2735.
Hamas bersedia melaksanakan apa yang telah dipersetujui pada 2 Julai, katanya, sambil menggesa tekanan dikenakan ke atas Israel supaya mematuhi perjanjian itu dan menghentikan gangguan terhadap usaha mencapai gencatan senjata.
Pada 16 Ogos, Amerika Syarikat, Mesir, dan Qatar, yang menjadi perantara rundingan gencatan senjata Gaza mengumumkan kesimpulan dua hari perbincangan di Doha, dengan satu cadangan baharu gencatan senjata Gaza telah dikemukakan.
Para perantara menyifatkan perbincangan itu sebagai konstruktif dan dijalankan dalam suasana positif.
Rundingan gencatan senjata dilaporkan telah disambung semula di Kaherah awal minggu ini dan akan diteruskan pada hujung minggu ini. - BERNAMA