Dek angau teman wanita baharu, lelaki pakat bunuh tunang sendiri
Agensi
Disember 25, 2017 19:59 MYT
Disember 25, 2017 19:59 MYT
Seorang bakal pengantin tergamak membunuh tunangnya sendiri gara-gara angau dengan teman wanita baharu dalam insiden pembunuhan terancang di Thailand.
Dalam kejadian pada Jumaat, Ronnachai Panchart, 26, menembak mati tunangnya, Nontiya Kruajatturat yang sepatutnya dikahwini semalam (Ahad).
Menurut laporan portal Thailand The Nation, Ronnachai sebelum ini telah berkali-kali memujuk tunangnya untuk membatalkan majlis perkahwinan kerana dia kini sudah ada teman baharu, Naruemon.
Nontiya walau bagaimanapun menolak, menyebabkan mereka sering bertengkar.
Akhirnya, pasangan kekasih gelap itu nekad berpakat untuk membunuh mangsa.
Pada malam kejadian itu, Naruemon menurunkan Ronnachai dekat kediaman Nontiya di Hospital Komuniti Salui di mana mangsa bertugas.
Suspek dilaporkan menyelinap masuk ke bilik tunangnya dan menembak dada mangsa lalu membunuhnya.
Terdahulu Ronnachai memberitahu polis yang dia dalam keadaan mabuk pada malam kejadian dan tidak berniat membunuh tunangnya.
Dia turut mendakwa tunangnya sering mengekori dia dan teman wanitanya selain menghamburkan kata-kata berupa ancaman terhadap mereka.
Polis Thailand dalam pada itu telah menahan teman wanita lelaki tersebut yang berusia 23 tahun atas dakwaan bersubahat serta terlibat membeli senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu.
Selain tiga pertuduhan termasuk membunuh dengan niat, Naruemon juga didakwa membantu teman lelakinya mencari lokasi untuk membuang senjata berkenaan.
Sementara itu, keluarga Nontiya mendakwa emas bernilai Baht 700,000 (kira-kira RM87300) hilang dari bilik mangsa.
#bunuh tunang
#majlis perkahwinan
#Naruemon
#Nontiya Kruajatturat
#Ronnachai Panchart
#teman wanita baharu
#tembak tunang
#Thailand