Deepika Padukone turun sokong protes pelajar, media sosial terbahagi dua
Agensi
Januari 8, 2020 19:20 MYT
Januari 8, 2020 19:20 MYT
Tindakan seorang aktres popular Bollywood bersama kumpulan penuntut universiti dalam protes terhadap kerajaan telah mencetuskan dua pandangan berbeza di media sosial, salah satunya adalah seruan untuk memboikot filem baharunya.
Ketika bintang Bollywood lain berdiam diri, Deepika Padukone melakukan sesuatu yang jarang sekali dilakukan para selebriti negara itu.
Deepika dilihat berdiri dalam kumpulan penuntut yang sedang melaungkan slogan anti-kerajaan di Universiti Jawaharlal Nehru (JNU) di New Delhi pada Selasa malam.
Tindakan solidariti itu dilakukan selepas sekumpulan lelaki bertopeng dengan senjata batang kayu menyerang kampus JNU pada Ahad lalu, dan mencederakan hingga 30 orang.
Penuntut di JNU, yang disifatkan sebagai berhaluan kiri, telah berbulan-bulan membuat bantahan berkaitan kenaikan yuran pengajian dan juga undang-undang kerakyatan (CAA) baharu yang kontroversi – mendiskriminasi Muslim dan juga mencalar perlembagaan sekular India.
Pihak penunut JNU dan beberapa fakulti menyifatkan serangan pada Ahad itu ada kaitan dengan Parti Bharatiya Janata (BJP) beracuan nasionalis Hindu pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi.
Susulan penyebaran gambar dan video Deepika yang berdiri di belakang ketua pelajar yang kepalanya berbalut akibat cedera, mencetuskan respons pengguna media sosial yang menyokong dan juga menentangnya.
Selain sebahagian masyarakat termasuk golongan penggiat seni menyanjung tinggi sokongan Deepika terhadap isu itu, sebahagiannya pula melihat kemunculan aktres itu sekadar publisiti murahan, sekali gus mencetus seruan supaya filem baharunya, Chhapaak diboikot.
Hashtag #BoycottChhapaak menjadi topik tular di India pada Rabu. Filem itu dibuat berdasarkan kisah benar mengenai wanita yang meneruskan kehidupan selepas insiden serangan asid.
Seorang konsultan jenama Santosh Desai berkata, lazimnya selebriti menjauhkan diri daripada sebarang tindakan yang berbaur politik kerana itu boleh menjejaskan periuk nasi mereka.
“Sebab utama kebanyakan bintang tidak mahu membuat sebarang kenyataan adalah kerana mereka bimbang kesan yang akan dialami filem mereka,” ujar Santosh.