Debat Pemilu 2024: Nasib petani antara tumpuan tiga calon Wakil Presiden
Ridauddin Daud
Januari 22, 2024 10:00 MYT
Januari 22, 2024 10:00 MYT
JAKARTA: Selepas tiga siri debat calon presiden Indonesia dalam Pemilihan Umum (Pemilu) 2024, siri debat diteruskan untuk pusingan keempat pada Ahad.
Kali ini, ia menyaksikan tiga calon Wakil Presiden atau Naib Presiden Pertama mengutarakan pandangan dan berpidato di bawah tema 'Sumber Daya Alam dan Energi'.
Debat keempat yang disiarkan secara langsung di YouTube Komisi Pemilihan Umum (KPU) melibatkan Muhaimin Iskandar, Gibran Rakabuming Raka dan Mahfud MD.
Pada sesi pertama, ketiga-tiga calon Wakil Presiden diberikan tempoh masa empat minit untuk mengutarakan pandangan mereka berdasarkan tema yang ditetapkan.
Muhaimin yang pertama membuka gelanggang dan Wakil Presiden kepada Anies Baswedan itu menegaskan betapa pentingnya keseimbangan antara manusia dan alam dalam menangani krisis iklim di negara tersebut.
Tegasnya, Indonesia tidak serius dalam mengatasi masalah iklim bahkan peruntukan ke arah itu juga lebih rendah berbanding sektor-sektor yang lain.
“Dengan kesedaran ini, maka kita harus kembali bahawa pembangunan nasional, kebijakan nasional harus berpijak kepada yang namanya keadilan.
“Keadilan iklim, keadilan ekologi, keadilan antara generasi, keadilan pertanian dan tentu, keadilan sosial. Rakyat harus dilibatkan, rakyat tidak harus ditinggalkan kerana pemilik negeri ini adalah rakyat.
“Pemerintah hanyalah pelaksana kepada pemilik negeri ini, Oleh kerana itu, desa harus menjadi titik tumbuh pembangunan.
“Petani, nelayan, penternak, masyarakat adat harus menjadi bahagian utama daripada program mewujudkan bekalan makanan nasional,” katanya.
Tambahnya, reformasi sektor pertanian harus diberi keutamaan dan tenaga baharu pula, sasarannya harus ditingkatkan, bukan dikurangkan.
Sementara itu, calon Wakil Presiden Prabowo Subianto, Gibran Rakabuming pula berkata, sekiranya pembangunan dapat disamaratakan, juga Indonesia sedia bergerak ke tenaga hijau, lebih 19 juta peluang pekerjaan akan tersedia.
Tambah beliau, lima juta daripadanya adalah peluang pekerjaan dalam tenaga hijau, yang merupakan pekerjaan untuk masa hadapan.
Selain itu, katanya, beliau dan Prabowo juga akan memberi penekanan terhadap nasib petani dan mekanisasi strategi membantu mereka.
“Untuk mendorong kesejahteraan petani, kita akan mendorong terus ketersediaan pupuk (baja) yang mudah dan murah.
“Untuk menjaga kestabilan harga bekalan makanan, akan kita manfaatkan segala agensi kerajaan yang ada. Untuk meningkatkan produktiviti para petani, akan kita dorong terus mekanisasi.
“Generasi muda akan kita dorong melalui ‘smart farming’. Agenda reformasi pertanian akan kita teruskan juga, berkaitan pemilikan dan pemanfaatan tanah yang lebih berkeadilan,” ujarnya.
Sementara itu, calon Wakil Presiden bagi Ganjar Pranowo, Mahfud berkata Indonesia sangat kaya dengan sumber alam tetapi yang menghairankan, bekalan makanan masih belum mencukupi.
Lebih menghairankan, katanya, jumlah petani semakin sedikit dan hasil juga semakin menurun tetapi subsidi semakin besar pula.
“Pasti ada yang salah, petani sedikit, hasil sedikit tetapi subsidinya setiap tahun naik. Pelabur masuk, industri berkembang, alam rosak, rakyat menderita.
“Kemudian sumber daya alam menjadi sumber sengketa antara rakyat dan rakyat, antara pemerintah dan pemerintah.
“Allah mengingatkan ini dalam al Quran. Telah terjadi kerosakan di bumi kerana tingkah laku manusia, di darat dan laut.
"Ini ditekankan oleh Allah agar manusia sadar bahawa mereka telah merosakkan alam di negara yang seharusnya dikuasai oleh bangsanya.
“Saya katakan ini tidak mudah, tapi hanya dua kuncinya, iaitu komitmen dan keberanian,” katanya ketika membuka bicara dalam debat tersebut.
Kira-kira 205 juta pengundi yang layak dijangka keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pemilih untuk menentukan pengganti Presiden Joko Widodo selepas selesai berkhidmat selama dua penggal.