Debat: Harris hujah berdasarkan fakta, Trump ikut emosi dan kepentingan politik

Bernama
September 11, 2024 20:43 MYT
Pendirian beremosi dan mengikut kepentingan politik Trump dapat dilihat ketika debat bersama Joe Biden sebelum ini. - Reuters
KUALA LUMPUR: Perdebatan antara calon Presiden Amerika Syarikat (AS) pada Selasa memperlihatkan calon Presiden parti Demokrat, Kamala Harris, berhujah berlandaskan fakta serta berhati-hati, manakala calon Republikan, Donald Trump, mengikut emosi dan kepentingan politik.
Itu pandangan geostrategis dan Felo Kanan Nusantara Academy for Strategic Research Dr Azmi Hasan mengenai debat antara Harris, yang juga kini Naib Presiden AS, dan Trump, bekas presiden AS, yang dikatakan boleh mempengaruhi rentak pemilihan Presiden AS menjelang pengundian pada 5 November ini.
Azmi berkata perbezaan antara kedua-dua calon Presiden AS berkenaan dapat dilihat dalam isu Palestin-Israel apabila Harris dilihat lebih jelas dan teratur dalam memberi sokongan kepada Israel terutamanya tentang pandangan dunia luar kepada AS berhubung isu berkenaan, dan dalam masa yang sama "ada sedikit simpati" terhadap penderitaan penduduk Gaza.
"Mungkin kerana beliau (Harris) sebagai bekas peguam negara California, berhujah atas dasar fakta. Trump pula berhujah atas dasar emosi dan kepentingan politik beliau...tidak pernah Trump menyatakan kesedihan terhadap malapetaka di Gaza," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Menurut Azmi, pendirian beremosi dan mengikut kepentingan politik Trump dapat dilihat ketika debat bersama Joe Biden sebelum ini apabila Trump mengatakan Biden lemah dalam menangani konflik Israel-Palestin dan Hamas akan dihapuskan jika beliau (Trump) merupakan Presiden AS.
Sementara itu, James Chin dari Universiti Tasmania berkata Trump menyasarkan kepada penyokong setianya, manakala Harris menyampaikan mesejnya kepada pengundi yang belum membuat keputusan.
"Harris menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada Trump, termasuk dari segi bahasa badan. Trump kelihatan agresif dan marah, manakala Harris kelihatan lebih tenang, terkawal, dan stabil dari segi emosi," katanya.
Chin memberi dua perkara utama kepada khalayak Malaysia daripada debat itu. Pertama, beliau menekankan kepentingan perdebatan politik berprofil tinggi.
"Di Malaysia, kita tidak biasa dengan perdebatan politik berprofil tinggi seperti ini," katanya, mencadangkan bahawa debat sebegini dapat meningkatkan landskap politik di Malaysia.
Kedua, beliau menunjukkan fokus dalaman perdebatan, menunjukkan peralihan dalam dasar luar AS.
"Adalah jelas bahawa AS sedang beralih lebih kepada kepentingan dalaman. Sepanjang perdebatan, dasar luar tidak menjadi topik utama. Segala-galanya berkisar tentang pemulihan AS dan ekonominya," katanya.
Beliau menyatakan bahawa perubahan ini menunjukkan kecenderungan yang lebih luas ke arah pengasingan diri.
"Amerika sedang memasuki mod pengasingan daripada memperlihatkan dirinya sebagai kuasa dunia," katanya, menunjukkan bahawa ini adalah peralihan yang penting untuk diperhatikan oleh rakyat Malaysia kerana ia mencerminkan perubahan dinamik global.
Chin turut memerhatikan penurunan minat dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap politik AS berbanding dua dekad lepas.
"Jika kita melakukan analisis ini kira-kira 20 tahun lalu, pastinya terdapat lebih banyak minat daripada rakyat Malaysia terhadap perdebatan presiden di AS," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Eksekutif Institut Asia-Eropah (AEI) Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Roy Anthony Rogers berkata debat presiden antara Trump dan Harris mencerminkan gaya kepimpinan yang berbeza, dengan kedua-dua calon kekal setia kepada persona masing-masing.
Roy berkata perdebatan politik yang dinanti-nantikan itu mempamerkan gaya dan pendirian mereka yang berbeza dalam isu utama nasional dan antarabangsa.
"Pada pandangan saya, kedua-duanya telah menunjukkan prestasi yang baik mengikut gaya sendiri. Trump mempamerkan pendekatan berani dan tegas yang tipikal, manakala Kamala Harris kekal tenang dan terkawal," katanya kepada Bernama.
Roy berkata pelbagai isu telah dibincangkan termasuk ekonomi, kos sara hidup, dan penciptaan pekerjaan untuk rakyat Amerika; bagaimanapun, beliau percaya lebih banyak topik boleh dimasukkan.
"Saya percaya kedua-dua calon tidak sepenuhnya mengupas pilihan yang ada untuk menyelesaikan krisis di Asia Barat, terutamanya konflik Gaza," katanya.
Mengenai kesan jangka panjang perdebatan itu, Roy percaya ia adalah sebahagian daripada budaya politik yang mantap di AS.
"Perbahasan itu berfungsi sebagai platform dalam budaya politik AS untuk menilai kebolehan calon untuk membentangkan rancangan mereka kepada orang ramai dan memujuk pengundi," katanya.
#Donald Trump #Kamala Harris #debat #pilihan raya presiden #Amerika Syarikat
;