Debaran warga Perancis menjelang hari mengundi esok
Agensi
Julai 6, 2024 22:08 MYT
Julai 6, 2024 22:08 MYT
PARIS: Menjelang hari pengundian Perancis, penduduk di Paris memberi reaksi berbeza mengenai pilihan raya pusingan kedua yang akan berlangsung pada Ahad.
Salah seorang warganegara Perancis, Vincent Bignalet menzahirkan kebimbangan dengan kebangkitan parti berhaluan kanan Perancis, National Rally (RN) serta kesannya terhadap nasib negara.
"Saya bimbang dengan kebangkitan sayap kanan secara beransur-ansur dalam keputusan pilihan raya, dan saya tidak dapat melihat siapa yang akan menang majoriti dalam pilihan raya ini," tambah Bignalet.
Berbeza pula dengan Habib Jebli, yang merupakan warga Paris, memaklumkan dirinya tidak berdepan sebarang masalah dengan hal itu.
"Saya tidak melihat masalah (dengan haluan kanan), saya tahu dari mana saya berasal. Saya suka dan mengagumi Perancis. Jika mereka tidak mahu saya lagi, selamat tinggal yang boleh saya katakan.
"Betul dalam apa yang mereka katakan, anda perlu membuang 'orang kotor'. Selagi anda dihormati, anda hidup dan bekerja, saya tidak melihat apa-apa sebab untuk risau," katanya.
Dalam pada itu, lebih 50 ahli politik dan calon yang bertanding dalam pilihan raya Perancis diserang sepanjang tempoh berkempen.
Angka itu diumumkan oleh Menteri dalam Negeri, Gerald Darmanin, ketika ketegangan semakin meningkat menjelang pengundian esok.
Sementara itu, parti dari pelbagai spektrum politik mendesak pengundi Perancis untuk turun mengundi beramai-ramai pada Ahad dalam usaha mempengaruhi keputusan sama ada secara positif atau sebaliknya.