Debaran cinta di Nautical Aliya
Hilal Azmi
Februari 14, 2017 09:30 MYT
Februari 14, 2017 09:30 MYT
Ketika ini kapal Nautical Aliya sudah bersauh di perairan dekat Pelabuhan Chittagong, Bangladesh, yang kedudukannya hampir 200km dari Cox's Bazaar iaitu lokasi paling dekat dengan kebanyakan kem pelarian Rohingya di Bangladesh.
Kapal gadang ini terus menjadi perhatian dunia selepas 11 hari belayar merentasi Selat Melaka, Laut Andaman dan Teluk Bengal kerana membawa muatan bantuan kemanusiaan lebih 2,300 tan.
Ketika melalui Laut Andaman, ada tentera laut Myanmar, masuk saja di sepanjang Teluk Bengal memasuki perairan Bangladesh, ada saja yang cuba mendekati dan menghubungi kapal ini.
"Why are you here? Why are there so many people in your ship?" Antara persoalan yang sering menjadi perhatian mereka.
Ada lebih 180 sukarelawan daripada pelbagai latar belakang, ideologi serta pemikiran yang sedia naik sekapal demi isu yang sekumpulan manusia yang dianggap paling teraniaya di muka bumi ketika ini.
"Mereka dok tunggu kita, dengan penuh pengharapan.
"Baru semalam saya dapat mesej, orang Rohingya dekat Kutupalong tak sabar nak sambut ketibaan kita," kata Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).
Menyebut tentang harapan, rata-rata sukarelawan berasa teruja dan berdebar apabila mendekati Chiittagong. Bagi mereka, itulah satu-satunya peluang terdekat untuk mendalami nasib golongan yang disasarkan bantuan tersebut.
"Kami berdebar sebenarnya menantikan tibanya hari ini (14 Februari).
"Kalau macam saya, secara peribadi nak masuk ke kem pelarian tu, nak santuni dan selami perasaan Rohingya yang ada kat sini," kata Kelana, salah seorang sukarelawan daripada Gabungan NGO PERMAS.
Jelasnya, misi ini penting bagi rujukan generasi baharu Malaysia.
"Rata-rata anak muda Malaysia kini terlalu leka dan hidup senang, mereka selalu lupa bahawa ada ramai lagi orang susah yang perlukan bantuan dan sokongan kita.
"Saya nak sangat turun ke lapangan, biar mata kepala saya jadi saksi untuk diceritakan kepada anak Malaysia agar faham erti bersyukur," tambahnya.
Bagi Kelana, rasa cinta yang mendalam terhadap Malaysia menjadikannya mahu terus berjuang menyedarkan rakyat Malaysia akan pentingnya menghargai perkara yang kita ada.
"Biarlah cinta kita ada makna, bukan cinta kosong!" tegasnya sambil menikmati bayu malam di perairan Chittagong.
Kapal Nautical Aliya melabuhkan sauhnya sementara menanti giliran pada awal pagi sebelum berlabuh di Perairan Chittagong.
Dijadualkan lebih 1,000 tan barangan bantuan akan dipunggah dan dihantar melalui Pelabuhan Chittagong bagi membantu lebih 100,000 pelarian Rohingya yang mencari suaka di Bangladesh.