'Daya tahan Ukraine terserlah ketika mendepani kepayahan, cabaran'
Bernama
Februari 24, 2024 14:07 MYT
Februari 24, 2024 14:07 MYT
KUALA LUMPUR: Hari ini (Sabtu) menandakan operasi ketenteraan Rusia di Ukraine sudah menjangkau dua tahun, daya tahan negara ini menjadi sumber harapan di tengah-tengah cabaran menghadapi pencerobohan dan kepayahan menjalani proses membina semula negara.
Bekas Duta Ukraine ke Malaysia Olexander Nechytaylo berkongsi dengan Bernama bahawa kerajaannya tidak jemu bekerja untuk menjamin kedaulatan dan membina semula negara di tengah-tengah kesukaran.
"Ia merupakan satu tugas utama memandangkan kemusnahan yang besar. Namun, kami telah berjaya dan penghargaan diberikan atas kecekapan dasar kerajaan dan bantuan antarabangsa yang telah membantu kami bertahan.
"Kiev tetap berdiri teguh meskipun setelah dua tahun pencerobohan; semua kemudahan pengangkutan berfungsi seperti biasa, kanak-kanak menghadiri sesi persekolahan, pusat membeli-belah dibuka dan orang ramai bertekad mempertahankan tanah air dan cara hidup kami," kata Nechytaylo yang kembali ke Kiev pada Jun 2022.
Beliau menekankan dua faktor penting yang menyumbang kepada daya tahan Ukraine, terutama dalam sektor seperti pertanian dan tenaga, serta semangat tidak berbelah bahagi warganya serta keberanian anggota tenteranya.
Sementara itu, beliau berkata kejayaan menyekat armada Laut Hitam Rusia telah memudahkan perdagangan antarabangsa dan mendorong pemulihan ekonomi.
"Rakyat kami berhasil menyekat armada Rusia di Laut Hitam, memastikan laluan perkapalan penting kini berfungsi sepenuhnya.
"Sejak Ogos 2023, lebih 700 kapal komersial telah belayar melalui Laut Hitam dari pelabuhan Ukraine dengan membawa pelbagai jenis kargo termasuk lebih 20 juta tan gandum kepada rakan kongsi kami di Asia, Asia Barat dan Afrika. Oleh itu, perdagangan antarabangsa kekal sebagai pemacu utama untuk memulihkan ekonomi kita," kata bekas duta itu.
Mengenai hampir lima juta orang di Ukraine yang hilang tempat tinggal dengan kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, bersama-sama lebih enam juta rakyatnya mencari perlindungan di luar negara, Nechytaylo menegaskan bahawa situasi itu menggariskan skala krisis kemanusiaan yang berkaitan dengan keperluan pelarian dalaman (IDP).
Beliau berkata ia menjadi keutamaan kerajaan dengan usaha bersepadu menyediakan bantuan dan insentif kepada IDP untuk melibatkan mereka dalam aktiviti ekonomi termasuk menubuhkan perniagaan mereka sendiri.
"Setakat ini, kebanyakan IDP telah menetap dengan baik, tetapi matlamat utama adalah untuk membantu mereka membina semula kehidupan mereka.
"Dalam tempoh jangka masa panjang, kerajaan dijangka mewujudkan insentif dan peluang lain bagi menggalakkan rakyat Ukraine di luar negara kembali dan menyumbang kepada pembinaan semula negara," kata Nechytaylo.
Sebelum ini, Bernama melaporkan bahawa Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menganggarkan hampir 6.5 juta pelarian dari Ukraine telah mencari perlindungan di seluruh dunia, dengan 3.7 juta pelarian dalaman direkodkan sejak pencerobohan itu.
Nechytaylo berkata Ukraine tetap terbuka kepada perkongsian yang bertujuan memperkukuh keupayaan pertahanan negara, di tengah-tengah cabaran berterusan akibat konflik yang melanda.
"Ukraine pastinya akan mengalu-alukan sebarang perkongsian yang membantu mengukuhkan keupayaan pertahanan kami," katanya.
Pada 24 Feb 2022, Rusia memulakan operasi ketenteraan menyeluruh ke atas Ukraine. Konflik berterusan sejak itu, dengan Ukraine gigih menentang pencerobohan Rusia.
-- BERNAMA