Datuk Bandar U20 bersidang bincang cabaran COVID-19, perubahan iklim

Bernama
Januari 8, 2022 18:25 MYT
U20, inisiatif diplomasi bandar yang menyatukan bandar-bandar dari negara anggota G20, menyokong untuk pemulihan hijau dan pemulihan daripada pandemik, selain menyelesaikan masalah-masalah lain.
JAKARTA: Datuk Bandar Urban 20 (U20) akan terlibat sama dengan para pemimpin G20 untuk menangani cabaran krisis akibat COVID-19, kecemasan iklim dan jurang struktur yang semakin meluas.
U20, inisiatif diplomasi bandar yang menyatukan bandar-bandar dari negara anggota G20, menyokong untuk pemulihan hijau dan pemulihan daripada pandemik, selain menyelesaikan masalah-masalah lain.
Datuk Bandar dan kerajaan mereka akan berganding bahu untuk menangani masalah kesihatan dan akses adil kepada vaksin, pendigitalan dan pertumbuhan serta peralihan tenaga, menjelang Sidang Kemuncak U20 yang akan diadakan pertengahan tahun ini di Jakarta, kata C40 dalam satu kenyataan.
Rumusan bersama daripada sidang kemuncak itu kemudiannya akan diserahkan kepada kerajaan Indonesia sebagai Pengerusi Sidang Kemuncak Pemimpin G20 berikutnya, di Bali pada 30 hingga 31 Oktober, tambah kenyataan itu.
Sidang Kemuncak U20 tahun ini akan dipengerusikan oleh Gabenor Jakarta, Anies Baswedan dan Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil sebagai pengerusi bersama, susulan penyerahan tugas sebagai Pengerusi G20 dari Itali kepada Indonesia.
Jakarta akan menyampaikan agenda U20 yang sejajar dengan keutamaan Indonesia sebagi pengerusi G20, dengan tema "Pulih Lebih Kuat, Pulih Bersama", kata Anies dalam kenyataan itu.
Inisiatif U20 dianjurkan secara kekal oleh C40 Cities, sekumpulan 97 bandar di seluruh dunia, termasuk Kuala Lumpur, di bawah pimpinan pengerusi daripada bandar anggota secara penggiliran setiap tahun.
-- BERNAMA
#Datuk Bandar #U20 #agenda hijau #perubahan iklim
;