Datuk bandar kena pukul
Sinar Harian
Mei 20, 2018 23:17 MYT
Mei 20, 2018 23:17 MYT
Datuk Bandar Thessaloniki terpaksa dirawat di hospital selepas beliau diserang sekumpulan individu dipercayai penyokong nasionalis, semalam.
Yiannis Boutaris, 75, turut ditendang pada bahagian kepala dan kaki serta dipukul dengan botol oleh kumpulan tersebut yang berang dengan kehadirannya.
Boutaris yang dikenali sebagai pemimpin antinasionalis menghadiri acara tersebut yang dianjurkan untuk memperingati insiden pembunuhan genosid etnik Greek oleh Turk ketika Perang Dunia Pertama.
"Ia seperti mimpi ngeri. Terdapat beberapa orang menyerang dan memukul saya," menurut laporan laman Greek Reporter memetik kenyataan beliau.
Difahamkan, pembantu datuk bandar itu bagaimanapun bertindak segera menyelamatkannya dan membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Perdana Menteri, Alexis Tsipras menyifatkan serangan itu sebagai satu bentuk perbuatan 'buli' dan mereka yang bertanggungjawab bakal dikenakan tindakan.
Sementara itu, parti berhaluan kiri, parti Syriza melihat ia sebagai usaha fasis untuk menakut-nakutkan datuk bandar terbabit. - BBC