Datuk bandar Filipina antara empat ditembak mati
Astro Awani
Disember 20, 2013 17:00 MYT
Disember 20, 2013 17:00 MYT
Empat orang termasuk Datuk Bandar di sebuah bandar di Zamboanga del Sur di selatan Filipina mati ditembak dalam satu serangan hendap di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy di Manila.
Pengurus besar lapangan terbang itu, Jose Angel Honrado mengesahkan pembunuhan berkenaan yang dilakukan oleh dua lelaki bersenjata yang menaiki sebuah motosikal.
"Datuk Bandar dan keluarganya serta beberapa pengiring keselamatannya telah diserang," kata Honrado kepada pemberita.
Mereka yang terbunuh adalah Datuk Bandar Labangan, Ukol Talumpa dan isterinya, Lea serta sepupu mereka, Salipudin Talumpa dan seorang bayi berumur satu setengah tahun, Phil Tomas Lirasan.
Bayi itu yang ditembak di kepala adalah anak salah seorang daripada empat mangsa cedera dalam serangan itu, termasuk ibunya.
Talumpa, ahli politik dari parti pembangkang terpilih sebagai Datuk Bandar Labangan pada pilihan raya Mei lalu.
Menurut polis, beliau dan ahli keluarganya tiba di lapangan terbang itu kira-kira pukul 11.15 pagi Jumaat selepas menaiki pesawat dari Zamboanga City.
Selepas mengambil bagasi, mereka terus menuju ke sebuah kenderaan yang menunggu di perkarangan lapangan terbang. Ketika itulah, sebuah motosikal yang dinaiki oleh dua lelaki tiba-tiba meluru dan lelaki berkenaan melepas tembakan.
Talumpa ditembak di dada dan pada bahagian kanan tubuhnya manakala isterinya ditembak di kepala. Sepupu mereka terkena empat das tembakan pada kepala dan badan.
Dalam sidang media bersama pegawai-pegawai polis Manila, Honrado berkata, pihak berkuasa tidak mengetahui identiti lelaki bersenjata itu ataupun motif serangan.
Beliau juga mengakui tempat kejadian tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV). Malah, media di Filipina melaporkan, semua empat terminal di lapangan terbang itu tidak ada CCTV.
Menurut Honrado, pasukan keselamatan lapangan terbang mengejar lelaki bersenjata itu tetapi mereka berjaya melepaskan diri dalam kesesakan lewat pagi di luar terminal dan masuk ke sebuah lebuh raya.
"Ini adalah kejadian yang amat malang yang telah berlaku di Terminal 3," kata Honrado.
Sementara itu, media Filipina melaporkan, beberapa saksi melihat suspek memakai jaket hitam seragam polis dan menaiki motosikal yang tidak dipasang dengan nombor plat.
Talumpa sebelum ini pernah jadi mangsa cubaan bunuh. Pada 2010, ketika jadi Naib Datuk Bandar, beliau dan seorang sepupunya cedera ditembak di Manila. Beliau juga pernah terselamat dalam satu serangan bom di Zamboanga del Sur. — Agensi