Dasar kemasukan tanpa visa membuahkan hasil yang positif, kata China

Bernama
Disember 6, 2023 17:54 MYT
Beijing pada Selasa berkata program kemasukan tanpa visa untuk enam negara telah membuahkan "keputusan positif," dengan peningkatan bilangan pengunjung yang memasuki wilayah China sejak awal Disember. - Gambar fail/BERNAMA
ISTANBUL: Beijing pada Selasa berkata program kemasukan tanpa visa untuk enam negara telah membuahkan "keputusan positif," dengan peningkatan bilangan pengunjung yang memasuki wilayah China sejak awal Disember.
Wang Wenbin jurucakap Kementerian Luar China mengulas mengenai keberkesanan dasar yang dilaksanakan bulan lepas yang membenarkan kemasukan 15 hari tanpa visa kepada individu dari Perancis, Jerman, Itali, Belanda, Sepanyol dan Malaysia.
Dasar itu membenarkan kemasukan tanpa visa bermula pada 1 Dis sehingga November berikutnya, seperti yang dilaporkan oleh Agensi Anadolu.
Wang berkata hampir 18,000 pelawat dari enam negara berkenaan memasuki China dalam tempoh tiga hari pertama bulan semasa, dengan purata harian meningkat sebanyak 39 peratus berbanding 30 Nov. Hampir 7,000 pelawat atau 39 peratus daripada jumlah ketibaan menggunaan manfaat kemasukan tanpa visa.
Beliau menekankan bahawa angka-angka ini menunjukkan bahawa dasar pengecualian visa unilateral itu memudahkan perjalanan bagi individu dari enam negara terbabit.
Wang juga berkata Beijing akan terus menyesuaikan dasar visanya untuk mewujudkan keadaan yang lebih baik yang memudahkan perjalanan rentas sempadan.
-- BERNAMA
#dasar kemasukan tanpa visa #keputusan positif #China #Kementerian Luar Chin
;