Dasar Ekonomi Madani mampu pacu ekonomi Malaysia - PM Anwar
Hafiz Marzukhi
November 11, 2024 12:42 MYT
November 11, 2024 12:42 MYT
KAHERAH: Perincian Dasar Ekonomi Madani yang jelas mampu memacu ekonomi Malaysia di peringkat global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, penunjuk ekonomi Malaysia yang memberangsangkan memberi peluang kepada negara untuk memainkan peranan tersebut.
"Sebelum berlepas ke Riyadh, Arab Saudi, saya dan delegasi menghadiri sesi meja bulat bersama kira-kira 60 pemimpin industri dan perniagaan meliputi pelbagai sektor yang berpusat di Mesir serta delegasi perniagaan Malaysia.
"Sesi ini turut dihadiri oleh Menteri Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa Republik Arab Mesir, Hassan El Khatib dan dimanfaatkan sebaiknya untuk berinteraksi serta memberi keyakinan kepada mereka terkait peluang pelaburan di Malaysia selain penerokaan usahasama perniagaan dan perdagangan dengan syarikat di negara kita," katanya.
Anwar berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menghadiri sesi meja bulat bersama pemimpin industri tempatan di Kaherah, Mesir pada Ahad.
Hadir sama dalam sesi meja bulat tersebut ialah Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Ketika berucap dalam sesi berkenaan, Anwar menggariskan fokus Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada tahun hadapan adalah untuk meningkatkan aktiviti perdagangan di antara negara-negara anggota.
"Malaysia yang merupakan antara pemain utama dalam sektor tenaga hijau akan menggunakan kelebihannya dalam usaha merancakkan lagi aktiviti ekonomi antara negara anggota," jelas Anwar.
Selain itu, tambah Anwar, sebagai pengerusi ASEAN, usaha merancakkan pengembangan digitalisasi akan turut diberi tumpuan dalam kalangan negara-negara anggota blok Asia Tenggara itu.