Darurat Indonesia: Adaptasi bantu penduduk Bali teruskan hidup
Madiha Abdullah
Julai 4, 2021 00:23 MYT
Julai 4, 2021 00:23 MYT
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan darurat di Bali dan Jawa memberi tekanan kepada ekonomi setempat khususnya di Bali, memandangkan penduduknya banyak bergantung kepada hasil daripada industri pelancongan.
Namun Koordinator Liputan Kompas TV di Bali, Desy Indah Lestari memaklumkan, masyarakat di Bali ketika ini sudah mula membiasakan diri dengan situasi pandemik dan bijak mengambil inisiatif lain untuk meneruskan kelangsungan hidup.
"COVID-19 memberi kesan kepada semua sektor apatah lagi sektor pelancongan.
"Di Bali, majoriti penduduknya terlibat dalam sektor pelancongan jadi mereka sangat terjejas.
"Tetapi penduduk di sini tidak cepat putus asa kerana dapat dilihat ramai yang mula cuba beralih ke bidang lain seperti pertanian.
"Pertanian bidang yang tidak banyak diteroka sebelum ini tetapi kini semakin mendapat perhatian dan memberi hasil yang baik.
"Di samping itu, Bali juga mempunyai banyak sumber lain yang boleh digunakan untuk membolehkan penduduk bertahan," katanya menerusi temu bual di Buletin AWANI pada Ahad.
Situasi di Bali sedikit terkawal dengan majoriti wilayahnya berada dalam zon jingga dan hijau - tiada zon merah di Bali ketika ini.
Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) atau darurat bermula yang Sabtu sehingga 20 Julai menyaksikan hanya beberapa sektor penting dibenar beroperasi.
Ia membabitkan kira-kira 160 juta penduduk Jawa dan empat juta penduduk Bali.
PPKM dilaksanakan sebagai tambahan kepada inisiatif kerajaan Indonesia untuk meningkatkan pemberian vaksin.
Ketika ini, hanya lima peratus rakyat negara itu sudah menerima dua dos lengkap.
Desy juga memaklumkan, hospital-hospital di Jawa kini mengalami peningkatan jumlah pesakit yang tinggi, di samping peningkatan jumlah jenazah yang menunggu untuk dikebumikan.
"Berdasarkan pemantauan kami di Jawa, hospital di sana terbeban dengan jumlah pesakit yang ramai, malah banyak juga jenazah yang masih menunggu untuk dikebumikan.
"Keadaan berbeza di Bali kerana banyak wilayah di Bali sudah dalam zon hijau dan jingga, zon merah tidak ada di sini.
"Ini menunjukkan keadaan sudah sedikit terkawal di Bali, tetapi PPKM tetap dilaksanakan di sini kerana kerajaan bimbang dengan penularan varian baharu," ujarnya.
Pada Sabtu, Indonesia menyaksikan lebih 27,000 kes baharu COVID-19 dicatatkan, dengan 493 kematian.
#Indonesia
#sektor pelancongan
#ekonomi
#pelancongan
#COVID-19
#pandemik
#vaksin
#varian baharu
#Bali
#jawa