Darurat diisytihar di beberapa wilayah, korban protes ganas di Peru cecah 60 orang
Bernama
Januari 22, 2023 14:51 MYT
Januari 22, 2023 14:51 MYT
BOGOTA (Colombia): Protes ganas yang berlarutan di Peru terus meragut nyawa apabila 60 orang disahkan terkorban setakat ini sejak bantahan meletus pada 11 Disember lalu, lapor Agensi Anadolu.
Polis turut menyerbu Universiti San Marcos di Lima dan menahan 200 pelajar.
Kerajaan telah mengisytiharkan darurat di beberapa wilayah yang memberi kuasa kepada tentera untuk campur tangan.
Protes itu diadakan untuk menuntut Presiden Dina Boluarte meletakkan jawatan selepas penyingkiran bekas Presiden Pedro Castillo.
Castillo turut ditahan atas tuduhan pemberontakan apabila cuba membubarkan Kongres dan mengeluarkan dekri untuk mengelak didakwa atas kesalahan rasuah.
Pejabat Pendakwa juga dilaporkan akan membuka kertas siasatan ke atas Boluarte susulan protes yang meragut nyawa orang awam itu.
-- BERNAMA