Darurat di Indonesia mungkin dilanjut sehingga 31 Julai

Faris Danial Razi
Julai 17, 2021 23:46 MYT
Joko Widodo atau Jokowi, mungkin membuat keputusan untuk melanjutkan tempoh darurat sehingga 31 Julai ini. - Gambar fail
BIMBANG akan situasi COVID-19 dan lonjakan kes harian, Presiden Indonesia, Joko Widodo, mungkin membuat keputusan untuk melanjutkan tempoh darurat sehingga 31 Julai ini.
Menurut laporan The Jakarta Post, Menteri Koordinator Pembangunan Manusia dan Kebudayaan (PMK) Muhadjir Effendy, berkata presiden itu berkata demikian pada salah satu mesyuarat secara maya dihadirinya sebelum ini.
Bagaimanapun, kerajaan belum membuat keputusan rasmi mengenainya.
Perintah darurat yang sepatutnya berakhir pada 20 Julai itu melarang aktiviti makan malam di restoran dengan arahan bekerja dari rumah untuk sektor bukan keperluan utama, sekali gus bertepatan dengan kawalan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha.
Terdahulu, pemerintah Indonesia melarang umat Islam di kawasan yang terlibat dengan pelaksanaan darurat daripada meraikan perayaan Aidiladha seperti biasa.
Penduduk juga tidak dibenarkan untuk menunaikan solat sunat Aidiladha di surau mahupun masjid, dengan sebarang aktiviti perjalanan dan perjumpaan dilarang.
Menteri Agama, Yaqut Cholil Qoumas, dalam pada itu meminta umat Islam supaya menunaikan solat sunat di rumah bersama ahli keluarga sahaja.
Tindakan itu perlu ambil bagi mengelakkan risiko penularan COVID-19 serta mengatasi masalah kekurangan bekalan vaksin di beberapa wilayah.
Tambah Cholil Qoumas, pihaknya turut mengeluarkan surat pekeliling bagi mengarahkan supaya sebarang aktiviti ibadah korban tidak dilaksanakan dalam kuantiti orang ramai.
Sejak beberapa hari lalu, Indonesia menyaksikan peningkatan kes COVID-19 dan pada Sabtu, sejumlah 51,952 kes baharu direkodkan.
#Joko Widodo #Aidiladha #Islam #Indonesia #Jakarta #hari raya #COVID-19 #perintah darurat #bekalan vaksin #vaksin #Ibadah Korban #Yaqut Cholil Qoumas
;