Dari Presiden Indonesia hingga rakyat jelata, semuanya tidak dibenar mudik lebaran
Astro Awani
April 19, 2021 13:23 MYT
April 19, 2021 13:23 MYT
JAKARTA: Dalam usaha untuk memastikan rakyat tidak balik ke kampung halaman sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) serta Naib Presiden, Maáruf Amin turut membuat keputusan untuk menyambutnya di Jakarta.
Bahkan, seluruh anggota Kabinet serta pegawai-pegawai tertinggi kerajaan juga akan melakukan perkara yang serupa bagi mengukang penularan COVID-19.
Keputusan ini diharap dapat menjadi teladan bagi seluruh rakyat di negara yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia agar tidak pulang ke kampung untuk meraikan hari raya seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.
"Presiden Joko Widodo bersama semua menteri, wakil presiden, semua ketua jabatan tidak akan pulang kampung kerana mahu menjadi contoh kepada masyarakat,” kata jurucakap Presiden dalam bidang komunikasi, Fadjroel Rachman dalam kenyataan media.
Fadjroel sendiri mengakui, beliau sudah membeli tiket penerbangan untuk pulang ke Kalimantan Selatan bagi meraikan Aidilfitri bersama keluarganya.
Bagaimanapun, hasrat itu dibatalkan ekoran kerajaan melarang tradisi mudik lebaran pada 2021 berikutan jangkitan wabak COVID-19 masih belum reda.
Jokowi juga, kata Fadjroel, sudah mengarahkan semua menteri agar tidak menganjurkan majlis berbuka puasa beramai-ramai.
Begitu juga dengan majlis rumah terbuka pada Aidilfitri kelak, juga tidak dibenarkan.
Presiden Jokowi sebelum ini mengumumkan kerajaan melarang perantau untuk pulang ke kampung halaman pada sambutan hari raya pada bulan depan bagi mengekang penularan COVID-19.
Larangan tersebut dibuat selepas pengalaman daripada empat cuti umum panjang di Indonesia sebelum ini telah mencetus kenaikan kes pandemik COVID-19.
Balik kampung sempena hari raya atau lebih dikenali sebagai mudik lebaran di Indonesia merupakan tradisi bagi sebilangan besar perantau di Jakarta.
Sebelum pandemik COVID-19 mengancam dunia, mudik lebaran adalah aktiviti yang tidak boleh ditinggalkan oleh umat Islam setiap kali menjelang lebaran.
Kebiasaannya, seminggu sebelum sambutan Aidilfitri, perantau-perantau di sudah mula meninggalkan kota Jakarta untuk kembali bersama keluarga meraikan hari kemenangan itu.
Jakarta yang lazimnya sibuk dan riuh akan sunyi sepi berikutan jutaan penduduknya bercuti panjang.
#Mudik Lebaran
#balik kampung
#Hari Raya Aidilfitri
#Indonesia
#Presiden Indonesia
#Joko Widodo
#Jokowi