Dapat rumah seluas 290 kaki persegi, golongan miskin Hong Kong ini rasa seperti 'syurga'!
Agensi
September 29, 2020 18:58 MYT
September 29, 2020 18:58 MYT
HONG KONG: Kehidupan awam di kota Hong Kong tidak seperti yang dibayangkan dalam variasi filem komersial yang mempamerkan kehidupan urban kosmopolitan yang bergaya.
Keluarga yang bersesak dalam kediaman seumpama kotak atau kurungan sudah menjadi suatu yang lazim di bandar raya yang kos sara hidupnya serba mahal itu.
Apabila Lau Kai Fai, 70, isterinya dan anak lelaki remajanya berpindah ke sebuah pangsapuri baharu di Hong Kong bulan lalu, dia berasakan bahawa kediaman seluas 290 kaki persegi (27 meter persegi) itu seumpama pengalaman ‘menang loteri’.
Reuters melaporkan, mereka adalah antara keluarga terawal yang dipindahkan ke ‘kediaman modul’ berkenaan, yang dibina sebagai suatu peralihan bagi golongan yang masih menanti peluang memiliki rumah awam.
Dalam kediaman baharu itu, kehidupan tiga beranak itu berubah kerana sebelum ini mereka berhimpit dalam ruang yang luasnya satu per tiga daripada yang dimiliki sekarang.
Barulah kini, mereka boleh duduk makan bersama, berbanding sebelum ini makan secara bergilir.
Walaupun rumah baharu itu tetap kecil berdasarkan standard kota-kota lain di negara-negara membangun dan negara kaya, rumah baharu Kai Fai itu adalah suatu fasa baharu bagi keluarganya, meskipun ia pemilikan sementara.
"Ini barulah rasa seperti rumah. Sebelum ini, kediaman kami hanya tempat untuk tidur,” kata Kai Fai, yang menjadi antara penerima inisiatif pemerintah Hong Kong untuk golongan yang sukar memiliki kediaman.
Di kota besar itu, jutaan orang tinggal di pangsapuri awam yang dibahagikan kepada ruang-ruang kecil untuk dikongsi dengan keluarga lain. Secara purata, mereka perlu menunggu hampir enam tahun untuk layak mendapatkan unit perumahan awam.
Rumah modul atau rumah peralihan seperti yang dihuni Kai Fai dibina di atas tapak tanah yang dipajak kerajaan atau pembangun persendirian untuk beberapa tahun, walaupun strukturnya boleh diguna semula atau dipindahkan.
Perancangan sejak tahun 2018 itu bagaimanapun hanya dapat melegakan sebahagian kecil penduduk di kota yang perbezaan kesamarataannya paling ketara di dunia. Lebih daripada sejuta daripada 7.5 juta penduduknya berada dalam paras miskin. Sehingga Jun, 800 rumah peralihan telah dibina daripada 15,000 yang dirancang dalam tempoh tiga tahun ke depan.
Namun, bagi keluarga Kai Fai, unit di pangsapuri empat tingkat di tengah-tengah Kowloon itu suatu kemewahan.
Rumah Keranda
Di unit kediaman lama mereka, yang digelar sebagai ‘rumah keranda’ oleh penduduk setempat, mereka perlu menyediakan bayaran sewa berjumlah HK$5,000 (RM2,700) setiap bulan. Kini, dalam ruang yang tiga kali ganda ruang asal, keluarga itu hanya perlu membayar sebanyak HK$3,000 (RM1,600) sebulan.
Nilai itu adalah suku daripada pendapatan isteri Kai Fai, Tian Jiayu, yang bekerja di pasar raya.
Akhirnya mereka memiliki tempat yang membolehkan anak lelaki mereka menyiapkan kerja sekolah di atas meja, berbanding di atas katil sebelum ini.
Dari pintu masuk unti kediaman berbentuk kontena itu, penghuninya akan menemui ruang tidur yang terdapat katil bertingkat. Sebuah almari pakaian memisahkan katil itu dengan ruang tamu, di mana terdapat kerusi yang boleh diputar untuk tujuan kerja mahupun untuk menjamu selera di meja makan. Dua belas langkah dari pintu masuk, iaitu di penghujung ruang kediaman itu adalah dapur mini dengan peti sejuk, ketuhar dan mesin basuh.
Inisiatif kediaman seperti itu meningkatkan ruang hidup penghuninya, daripada 80 kaki persegi ke 290 kaki persegi. Mereka kini tinggal dalam ruang seluas dua per tiga daripada keluasan median kediaman Hong Kong yang padat, iaitu 430 kaki persegi.
Secara perbandingan, ruang 430 kaki persegi pula adalah separuh daripada luas kediaman purata di kota London.
#rumah
#kediaman
#Hong Kong
#Masyarakat
#golongan miskin
#miskin urban
#populasi
#perumahan
#pemilikan rumah