Dapat lebih 19 juta tanda suka, Taehyung buktikan dia 'raja media sosial'
Astro Awani
Mac 27, 2022 09:00 MYT
Mac 27, 2022 09:00 MYT
SEOUL: Kim Taehyung, atau V, membuktikan dia adalah 'raja media sosial' dengan terus mendominasi Instagram selepas semua ahli BTS membuka akaun pada 6 Disember 2021.
Status Taehyung mengenai anjing peliharaan kesayangannya, Yeontan kini merupakan status pertama dan satu-satunya daripada orang Asia yang mendapat lebih 19 juta tanda suka di Instagram.
Memetik laporan allkpop.com, Taehyung mencapai angka itu dengan kurang daripada 40 juta pengikut akaunnya yang baru sahaja berusia tiga bulan.
Angka itu juga mengatasi ramai selebriti Asia yang mempunyai lebih daripada 60 juta pengikut namun 'engagement' dilihat lebih rendah.
Taehyung juga merupakan individu ke-10 yang melepasi rekod tersebut, sama yang pernah dilakukan selebriti terkenal seperti Ariana Grande, Billie Eilish dan Kylie Jenner.
Dalam masa hanya satu minggu, akaun Taehyung kini memperoleh lebih 35 juta tanda suka dan ia hanyalah melibatkan tiga status dimuat naik.