'Danke, Mrs Geraldine Beldi' - Wanita temukan jasad Eril terima penghargaan

Astro Awani
Jun 11, 2022 11:10 MYT
Ridwan bersama Geraldine, guru sekolah rendah yang menemukan jasad anak Gabenor Jawa Barat itu iaitu Emmeril Kahn Mumtadz atau Eril. -Instagram
NAMA seorang guru sekolah rendah, Geraldine Beldi, menjadi bualan ramai selepas beliau dipercayai individu pertama yang menemukan jasad anak kepada Gabenor Jawa Barat, Emmeril Kahn Mumtadz atau Eril, berdekatan empangan Engehalde, ketika berjalan di tepi sungai menuju ke sekolah.
Lantaran itu, Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil menerusi muat naik di laman Instagram meminta agar pasukannya mencari keberadaan guru tersebut sebelum beliau pulang ke Indonesia untuk mengucapkan ribuan terima kasih atas jasa dan informasi yang diberikan kepada pihak berkuasa.
"Mohon carikan ibu guru itu, saya berkewajiban menghaturkan terima kasih sebelum pulang ke tanah air," Ridwan Kamil di Instagram peribadinya.
Setelah beberapa jam mencari maklumat, Ridwan akhirnya bertemu dengan guru sekolah rendah tersebut, selepas beliau habis mengajar.
Tidak cukup dengan ucapan terima kasih, Ridwan juga turut berjanji jika Geraldine berkunjung ke Indonesia, beliau akan diberikan layanan istimewa dari pihaknya.
"Ibu Geraldine kalau ingin berkunjung ke Indonesia, tolong kabari saya ya, nanti semuanya saya yang urus sebagai rasa terima kasih kami.
"Danke, Mrs Geraldine Beldi, hatur nuhun, terima kasih,” ujar Ridwan.
Insiden yang menimpa anak lelaki sulung Gabenor Jawa Barat yang hilang di Sungai Aare sejak dua minggu lalu menjadi bualan dan perhatian masyarakat setempat termasuk Geraldine Beldi.
Mengetahui hal itu, ibu kepada dua orang anak itu sering melihat ke arah Sungai Aare setiap kali beliau berjalan menuju ke tempat kerjanya.
Pada Rabu, ketika dia sedang menuju ke sekolah, dia terlihat sosok manusia di empangan Engehalde dan segera melaporkannya kepada pihak polis.
Menurut polis, pihaknya menemui jasad Eril pada jam 6.05 pagi Rabu (waktu tempatan) di kawasan empangan tersebut.
Eril dipercayai dihanyutkan arus ketika berenang di Sungai Aare pada 26 Mei lepas.
Jurucakap polis, Joel Regli dipetik agensi AP sebagai berkata, Eril dipercayai hilang sewaktu sedang berenang bersama adiknya Camillia Laetitia Azzahra, dan teman mereka di sungai berkenaan yang terletak beberapa ratus meter ke hulu dari pusat bandar.
Anak sulung Ridwan itu berada di Switzerland bersama keluarganya untuk mencari institusi pendidikan bagi melanjutkan pendidikannya sehingga ke tahap sarjana.
#Indonesia #guru #Switzerland #Instagram #Geraldine Beldi #Ridwan Kamil #Gabenor Jawa Barat #Emmeril Kahn Mumtadz #Eril #Jasad #ditemukan #terima kasih
;