Dana Khas COVID-19 ASEAN perlu dipercepatkan bantu negara anggota - Hishamuddin

Fareez Azman
Januari 21, 2021 20:18 MYT
Hishammudin berkata, ia mampu membantu negara-negara anggota dalam rancangan perolehan vaksin secara kolektif. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Malaysia mengambil pendirian bersama Brunei mendesak agar Dana Khas COVID-19 ASEAN dapat dirumuskan secepat mungkin
Perkara itu ditegaskan Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dalam Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM Retreat) yang dipengerusikan oleh Menteri Luar Negeri Dua Brunei, Datuk Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof secara persidangan video pada Khamis.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Wisma Putra hari ini, usaha itu jelas Hishammudin mampu membantu negara-negara anggota dalam rancangan perolehan vaksin secara kolektif.
"Menteri Luar Negeri juga setuju dengan usul Pengerusi (Brunei) bahawa Dana Khas COVID-19 ASEAN perlu dirumuskan secepat mungkin, untuk membantu negara-negara anggota mengadakan rancangan perolehan program vaksinasi secara kolektif," jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, Menteri Luar itu turut menyatakan sokongan Malaysia terhadap peranan kerajaan China, Bangladesh dan Myanmar bagi program vaksinasi dan pemulangan etnik Rohingya ke Wilayah Rakhine.
"Perkembangan positif yang dinanti-nantikan ini tentunya akan meringankan keadaan di di Wilayah Rakhine, Myanmar dan Bangladesh, dan memberi peluang kepada para pelarian untuk kembali," jelas kenyataan itu lagi.
Sementara itu, beliau turut menegaskan kembali sokongan penuh Malaysia dalam fokus utama ASEAN 2021 melibatkan Kesihatan Mental, Pemuda dalam Keamanan dan Keselamatan dan Multilateralisme.
Hishamuddin menekankan masalah itu perlu ditangani setiap kerajaan di bawah ASEAN.
"ASEAN mesti menyedari dan menyoroti bahawa masalah kesihatan mental adalah reaksi semula jadi terhadap wabak tersebut dan kerajaan kita harus bersedia menangani hal ini," jelas kenyataan itu lagi.
Menteri Luar itu turut mencadangkan agar ASEAN bekerjasama dengan Australia dalam program kesihatan mental bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik itu.
Dalam pada itu, Malaysia jelas Hishamuddin, turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada negara-negara anggota ASEAN atas kesepakatan mengesahkan Malaysia sebagai Calon ASEAN bagi Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) penggal 2021-2024.
"Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) mewujudkan semangat multilateralisme, yang akan terus disokong oleh Malaysia dan sebagai anggota HRC.
"Malaysia akan bekerjasama rapat dengan semua pihak untuk mendorong kemajuan hak asasi manusia di rumah dan di peringkat global,"kata kenyataan itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Hishamuddin turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terbunuh dalam nahas pesawat Sriwijaya Air (SJ182) serta mangsa gempa bumi di Sulawesi pada 15 Januari lalu.
#Wisma Putra #Rohingya #Bangladesh #Rakhine #gempa bumi #pesawat #kerajaan #mangsa #kesihatan #pemuda #Nahas #rakyat #keselamatan #menteri #pelarian #program vaksinasi #COVID-19 #keluarga #China #Australia #ASEAN #Myanmar #Media
;