AS 'dalam peperangan secara langsung' dengan Rusia- Menteri Luar Sergey Lavrov
Bernama
September 24, 2023 13:43 MYT
September 24, 2023 13:43 MYT
NEW YORK: Amerika Syarikat "secara langsung dalam peperangan" dengan Moscow, kata Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov selepas penutupan minggu peringkat tertinggi sesi ke-78 Pehimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York.
Lavrov membuat kenyataan itu dalam sesi soal jawab bersama wartawan yang disiarkan oleh Kementerian Luar Rusia di X (Twitter), lapor United Press International (UPI).
"Terdapat norma undang-undang sebuah negara dikenal pasti sebagai pihak langsung kepada permusuhan dan negara-negara Barat melakukan segala yang mungkin untuk mengelak, apatah lagi menyebutnya.
"Mereka terlibat dalam "peperangan" dengan kami menggunakan rakyat Ukraine...," kata Lavrov.
Lavrov berkata mereka yang mengikuti perkembangan perang itu boleh "mengetahui dengan baik bahawa Amerika dan Britain dan ramai lagi terlibat."
"Mereka melancarkan perang dengan kami. Terdapat penghantaran senjata dalam kuantiti yang semakin banyak," kata Lavrov.
Komennya menandakan penyempadanan paling jelas bagaimana Rusia melihat ketegangan dengan AS yang berpunca daripada pencerobohan ke atas Ukraine.
Lavrov merujuk kepada senjata bernilai berbilion dolar yang diberikan kepada Ukraine serta latihan pengajar tentera Ukraine di Poland, Jerman dan United Kingdom sebagai bukti penglibatan AS.
"Saya pasti ada pengajar yang bekerja dalam kuantiti yang banyak di bumi Ukraine juga. Dan sudah tentu, terdapat ramai askar upahan di sana, ramai daripada mereka adalah pegawai rasmi...," dakwa Lavrov.
Komen Lavrov itu sebagai menjawab persoalan mengenai laporan baru-baru ini di TopWar, sebuah blog Rusia yang berdaftar dengan pengawal selia Roskomnadzor negara itu yang mendakwa sebuah pesawat Tentera Udara AS dikesan berhampiran Crimea semasa serangan peluru berpandu yang dilakukan oleh Angkatan Tentera Ukraine.
Bagaimanapun, UPI tidak dapat mengesahkannya.
Lavrov mendakwa pesawat peninjau AS dan British berusaha untuk mengenal pasti objektif dan sasaran.
"Jadi, anda boleh sebut apa sahaja yang anda mahu menyebutnya, tetapi mereka secara langsung dalam peperangan dengan kami. Kami gelar sebagai perang hibrid tetapi ia tetap tidak mengubah realiti," kata beliau.
-- BERNAMA