Dalam kesakitan, Ravi gagah kibar Jalur Gemilang di puncak Everest

Astro Awani
Mei 20, 2023 23:42 MYT
Ravichandran berjaya mengibarkan bendera kebanggan Malaysia itu pada 17 Mei lepas sebelum dikejarkan ke hospital di Kathmandu, Nepal keesokan harinya. - Gambar Ravi Everest
KATHMANDU : Pendaki solo negara ke Gunung Everest, T Ravichandran, lebih dikenali sebagai "Ravi Everest" berjaya mengibarkan Jalur Gemilang buat kali keempat di puncak Gunung Everest.
Beliau berjaya mengibarkan bendera kebanggan Malaysia itu pada 17 Mei lepas sebelum dikejarkan ke hospital di Kathmandu, Nepal keesokan harinya.
Isterinya, R Leela menerusi satu kenyataan berkata, suaminya kini sedang menerima rawatan dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad (21 Mei 2023), jam 9 pagi waktu Malaysia.
"Untuk makluman rakyat Malaysia, beliau terpaksa dikejarkan ke hospital di Kathmandu, Nepal dengan menaiki helikopter pada 18 Mei 2023, akibat kecederaan di jarinya radang dingin (frostbite) berulang kembali.
"Kejadian itu berlaku ketika beliau hanya 200 meter untuk sampai ke puncak gunung keempat tertinggi dunia, Lhotse, yang berketinggian 8,516 meter.
"Namun, beliau berjaya mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera penaja Himalaya Sports di gunung tertinggi di dunia, Everest berketinggian 8,848 meter pada 17 Mei 2023 jam 12 tengahari (waktu Nepal), untuk kali yang keempat," katanya menerusi kenyataan tersebut.
Leela mengeluarkan kenyataan tersebut susulan ramai bertanya keadaan suaminya selepas tular berita pendaki yang maut ketika menyertai Ekspedisi Himalaya Sports Everest-Lhotse 2023, sejak April lalu.
Untuk rekod, Ravichandran menyertai Ekspedisi Himalaya Sports Everest-Lhotse 2023 dalam cubaan melakar rekod negara apabila menjadi pendaki Malaysia pertama menawan puncak Gunung Lhotse selepas mengibarkan bendera di puncak Gunung Everest.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Leela turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Lt Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub yang meninggal dunia di gunung tertinggi di dunia itu.
#Jalur Gemilang #Gunung Everest #pendaki #Tular
;