Dalam 9 bulan, kemusnahan hutan Amazon lebih besar daripada luas Negeri Sembilan

Agensi
Oktober 13, 2019 09:00 MYT
Sampai bila pembangunan dijadikan alasan hutan hujan Amazon terus diperkosa? - Reuters
Kadar kemusnahan hutan hujan Amazon di dalam negara Brazil terus meningkat untuk bulan kelima berturut-turut pada September lalu, iaitu sebanyak 93 peratus dalam sembilan bulan pertama tahun ini.
Reuters yang memperoleh data kerajaan melaporkan kerosakan yang berlaku kini begitu pantas berbanding dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Kemusnahan hutan hujan tropika terbesar di dunia itu mencecah keluasan 7,854 kilometer persegi dari Januari hingga September, menurut agensi penyelidikan INPE.
Keluasan itu ibaratnya 10 kali ganda keluasan Bandar Raya New York, atau lebih besar daripada seluruh Negeri Sembilan, Malaysia (keluasan Negeri Sembilan adalah sekitar 6,686 kilometer persegi).
Bagi September sahaja, data INOE menunjukkan aktiviti menggondol hutan meningkat sebanyak 96 peratus berbanding tahun lalu.
Dari segi keluasan, bulan September merekodkan tapak hutan seluas 1,447 kilometer persegi telah diratakan, sedikit kurang daripada rekod tertinggi seluas 2,255 kilometer persegi yang digondolkan pada Julai.
Para penyelidik dan aktivis alam menunding jari pada Presiden Jair Bolsonaro atas tindakannya membuka Amazon untuk penebang balak atas alasan pembangunan, selain melemahkan fungsi agensi alam sekitar Ibama.
"Kemusnahan hutan sedang berterusan dalam rentak yang berganda berbanding tahun sebelum ini. Saya percaya ini ada kaitan dengan mesej berterusan oleh Presiden (Bolsonaro),” keluh penyelaras inisiatif pemetaan kemusnahan hutan MapBiomas, Tasso Azevedo.
Bolsonaro dan Menteri Alam Sekitar Ricardo Salles kerap mengatakan bahawa kerajaan terdahulu adalah punca kemusnahan hutan terus berlaku, dengan polisi termasuk pemotongan bajet untuk agensi seperti Ibama sudahpun dibuat sebelum kerajaan baharu mengambil alih kuasa pada 1 Januari lalu.
BACA: Leonardo DiCaprio rayu dunia bertindak tangani isu kebakaran hutan Amazon
BACA: Dukacita kebakaran tak berakhir, puak pribumi Amazon berserah kepada 'kuasa alam'
BACA: Bolsonaro - Jangan menyibuk; Amazon milik Brazil
BACA: Titis hujan tak mampu padamkan 'raksasa api' Amazon
BACA: Hutan hujan Amazon terus terbakar, jutaan spesies istimewa berdepan kemusnahan
Tragedi kebakaran pada Ogos lalu adalah dalam kadar terpantas sejak tahun 2010, dan telah 'mencederakan' seluruh hamparan Amazon.
Perkembangan memilukan itu mencetus kemarahan global dan membuatkan para pemimpin dunia mempertikai tindakan yang sepatutnya diambil oleh Brazil.
Data INPE yang berbeza menunjukkan kebakaran itu akhirnya ternoktah pada September, seiring peralihan musim.
Para saintis berkata kebakaran itu ada kaitan dengan rentak kemusnahan hutan - tercetus daripada amalan penebang balak yang membakar untuk membersihkan kawasan selepas mereka memperoleh kayu berkualiti yang dimahukan.
Kawasan yang sudah terbakar seterusnya dijadikan tapak untuk pertanian.
#aktiviti pembalakan #alam sekitar #Brazil #hutan Amazon #hutan hujan amazon #Jair Bolsonaro #Presiden Brazil
;