Dalai Lama mohon maaf atas video 'cium', minta kanak-kanak hisap lidah
Nailah Huda
April 10, 2023 17:10 MYT
April 10, 2023 17:10 MYT
PEMIMPIN spiritual Tibet, Dalai Lama meminta maaf selepas tular klip video yang menunjukkan beliau mencium bibir seorang kanak-kanak serta meminta kanak-kanak itu supaya menghisap lidahnya.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial, Dalai Lama memohon maaf kepada kanak-kanak lelaki tersebut dan ahli keluarganya jika beliau telah melukakan perasaannya.
“Sebuah klip video tular menunjukkan pertemuan baru-baru ini apabila seorang kanak-kanak lelaki meminta Dalai Lama untuk memeluknya.
“Dalai Lama ingin meminta maaf kepada kanak-kanak lelaki itu dan ahli keluarganya, serta sahabatnya di serata dunia kerana kata-katanya mungkin mengakibatkan perasaan terluka.
“Dalai Lama sering mengusik orang yang beliau temui dalam cara yang bermain-main dan tidak bersalah, termasuk di khalayak ramai dan di depan kamera. Beliau kesal atas insiden tersebut,” menurut kenyataan itu.
Baru-baru ini, sebuah klip video tular di media sosial menunjukkan Dalai Lama ke-14 itu mencium seorang kanak-kanak di bibirnya, sebelum didengar bertanya kepada kanak-kanak itu supaya menghisap lidahnya.
Insiden itu berlaku ketika acara rasmi sedang berlangsung dan orang ramai berada di hadapan memberi penghormatan kepada pemimpin itu.
Perbuatannya mencetuskan kecaman netizen, dengan beberapa pengguna media sosial turut mempertikaikan status Dalai Lama sebagai Pemenang Anugerah Keamanan Nobel pada tahun 1989.