Dakwaan serangan bom kimia adalah 'rekaan semata-mata' - Bashar al-Assad

Agensi
April 13, 2017 22:28 MYT
Bashar dalam wawancara dengan agensi berita AFP berkata dakwaan itu adalah bagi mewajarkan serangan udara tentera Amerika Syarikat minggu lalu. - Foto SANA/Handout via REUTERS
Presiden Syria Bashar al-Assad berkata dakwaan serangan gas beracun oleh tentera kerajaan di Idlib adalah “rekaan semata-mata”.
Bashar dalam wawancara dengan agensi berita AFP berkata ia adalah bagi mewajarkan serangan udara tentera Amerika Syarikat di negaranya minggu lalu.
Katanya tentera Syria telah menyerahkan senjata kimia sepenuhnya pada 2013 susulan satu perjanjian ketika itu dan tidak pernah berniat mahu menggunakannya.
Tentera Amerika Syarikat dan sekutunya sebelum ini mendakwa tentera Syria melancarkan serangan bom kimia di Idlib, sesuatu yang kerajaan Syria menafikannya.
Serangan pada 4 April di bandar Khan Sheikhoun itu meragut puluhan nyawa dan mencetuskan tindakan Amerika Syarikat yang melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pengkalan udara Syria, serangan pertama seumpamanya oleh Amerika Syarikat sejak krisis di Syria tercetus.
Bashar berkata, kerajaan Syria hanya akan membenarkan pasukan yang tidak berpihak untuk menjalankan siasatan berkaitan insiden terbabit.
Rusia sebelum ini mendakwa senjata kimia itu adalah milik pemberontak.
Dakwaan itu bagaimanapun pantas disangkal kumpulan penentang kerajaan.
#Amerika Syarikat #Bashar al-Assad #bom #Idlib #Rusia #serangan #Syria
;