Dakwaan Kim Jong Un koma meragukan - Penganalisis
Agensi
Ogos 24, 2020 05:50 MYT
Ogos 24, 2020 05:50 MYT
Seorang bekas pegawai kanan CIA dan penganalisis Korea Utara meragui laporan pada Isnin berhubung pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un yang dilaporkan berada dalam keadaan koma.
Sebaliknya, mereka menegaskan, pemimpin diktator itu mengambil keputusan untuk 'muncul' pada hari tertentu sahaja ketika dunia dilanda krisis COVID-19.
Ini kerana, menurut mereka, Jong Un mahu menjaga profil selain hanya keluar secara misteri.
Bekas Timbalan Ketua Bahagian CIA Korea, Bruce Klingner berkata agak sukar untuk mempercayai berita tersebut kerana khabar angin tentang tahap kesihatan Jong Un sebelum ini ternyata palsu.
"Pemantau Korea adalah yang paling sukar untuk mempercayai khabar angin mengenai ketidakmampuan atau kematian pemimpin Korea Utara, setelah banyak laporan palsu mengenainya sebelum ini.
"Awal tahun lalu, ada spekulasi menyatakan Jong Un berada dalam keadaan koma selepas melakukan pembedahan jantungnya dan khabar angin ini lebih skeptikal daripada sebelum ini," katanya yang dipetik laporan The Washington Times.
Pun begitu, spekulasi itu timbul kembali selepas laporan beberapa agensi berita termasuk Fox News dan The New York Post yang memetik kenyataan Chang Song Min, bekas pembantu kepada mendiang Presiden Korea Selatan Kim Dae Jung.
Meskipun Song Min gagal dihubungi, namun desas-desus khabar angin itu seakan-akan benar apabila Pejabat Berita Yonhap Korea Selatan dalam laporannya mendakwa perisik Korea Selatan mendedahkan diktator berusia 36 tahun itu telah menyerahkan sebahagian pengaruh beliau kepada pembantunya termasuk adik perempuannya Kim Yo Jong.
Walau bagaimanapun, penganalisis lain yang dihubungi oleh The Times bersetuju dengan andaian Klingner mengenai perkara itu selain menegaskan tiada petunjuk jelas bahawa Jong Un sedang koma atau sakit pada masa ini.
Pada Isnin, The New York Post dilapor memetik dakwaan seorang bekas pegawai Korea Selatan yang mendakwa Jong Un kini berada dalam keadaan koma.
Ia susulan langkah dibuat pemimpin itu yang menyerahkan sebahagian kuasa pemerintahan kepada adik perempuannya Kim Yo Jong beberapa hari lalu.
#Astro Awani
#CIA
#Democratic People's Republic of Korea
#Jong Un koma
#Kim Jong Un
#Korea
#Korea Selatan
#Korea Utara
#koronavirus
#Media
#New York
#presiden
#Washington
#Workers' Party of Korea