Dakwaan COVID-19 dikesan lebih awal di Itali, saintis tuntut kajian lanjut dijalankan

Agensi
November 18, 2020 06:01 MYT
Pada Selasa, kajian oleh Institut Kanser Itali (INT) mendapati antibodi terhadap SARS-CoV-2 telah dikesan pada sampel darah beberapa individu sihat yang menjalani ujian kanser paru-paru di Itali pada Oktober 2019. -Gambar hiasan
ROM: KAJIAN yang mendakwa virus COVID-19 ditemui di Itali beberapa bulan sebelum ia ditemui di China telah menimbulkan spekulasi dalam kalangan saintis Barat, yang menuntut kajian selanjutnya dijalankan.
“Kajian selanjutnya diperlukan untuk membuktikan antibodi yang dikesan pada sampel darah adalah antibodi terhadap virus COVID-19 dan bukan antibodi terhadap virus lain,” kata saintis di Universiti Bath, United Kingdom (UK) kepada Reuters.
Pada Selasa, kajian oleh Institut Kanser Itali (INT) mendapati antibodi terhadap SARS-CoV-2 telah dikesan pada sampel darah beberapa individu sihat yang menjalani ujian kanser paru-paru di Itali pada Oktober 2019.
BACA: Virus COVID-19 dikesan di Itali sebelum dikesan di China - Kajian
Pengarah saintifik INT dan penulis bersama kajian berkenaan bercadang untuk menyiasat sejarah kesihatan peserta-peserta bagi mengkaji hasil kajian yang jika dibuktikan benar, akan mengubah kefahaman dunia tentang pandemik.
"Kami perlu memahami jika peserta ujian klinikal itu mengalami gejala COVID-19. Di mana mereka pergi, jika mereka mempunyai kontak dengan China," kata penulis bersama kajian INT, Giovanni Apolone.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini mengesahkan virus COVID-19 mula dikesan di Wuhan, China, Disember 2019.
Kini, COVID-19 telah menjangkiti lebih 55 juta di seluruh dunia dan menyebabkan lebih 1.3 juta kematian sejak ia mula dikesan di China.
#WHO #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #China #Itali #COVID-19 #kesihatan #United Kingdom #pandemik #Universiti Bath #Giovanni Apolone
;