Dakwa hina Islam: Polis Indonesia tidak akan lindungi Gabenor Ahok

Harits Asyraf Hasnan
November 4, 2016 16:12 MYT
Ketua Polis Republik Indonesia, Tito Karnavian menegaskan pihaknya tidak melindungi Gabenor DKI Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok dalam kes penghinaan agama. - Foto REUTERS
Ketua Polis Republik Indonesia, Tito Karnavian menegaskan pihaknya tidak akan melindungi Gabenor DKI Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok dalam kes penghinaan agama.
Beliau berkata demikian ketika mengulas berkenaan perjalanan Demonstrasi Aman #BantahAhok yang berlangsung di sini hari ini.
Dalam demonstrasi yang dihadiri ratusan ribu rakyat Indonesia, mereka turun ke jalanan dan menggesa supaya hukuman dikenakan terhadap Ahok.
"Saya minta juga langkah-langkah yang kami laksanakan pada ketika ini dihargai, sekaligus menunjukkan bahawa kami tidak ada upaya untuk melindungi mereka yang terlibat termasuk yang lain," ujar dalam siaran stesen televisen tempatan.
Dari 11 laporan berkaitan Ahok, polisi terus mengenalpasti adakah kes yang dilaporkan itu berunsur jenayah atau tidak.
"Kami akan menghantar surat untuk memanggil Basuki Tjahaja Purnama untuk kami mendengar keterangannya, InsyaAllah pada Isnin nanti," tambahnya.
Sebelum ini, Wakil Ketua Komisioner Polis Indonesia, Jeneral Syafruddin berkata, pihak polis sedang meneliti laporan berhubung penghinaan agama yang berkait dengan Ahok.
Malah, pihaknya juga sudah mengambil keterangan lebih daripada sepuluh saksi dalam kes tersebut.
Pada masa sama, Ahok turut dikatakan bersedia untuk hadir ke Ibupejabat Polis Indonesia untuk memberi keterangan terhadap kenyataan yang dibuatnya yang dikatakan memetik surah Al-Maidah ketika berpidato di Kepulauan Seribu.
#ahok #basuki tjahaja purnama #demonstrasi aman #Gabenor DKI Jakarta #Ketua Polis Indonesia #Tito Karnavian
;