Daesh mengaku tanggungjawab letupan di Filipina

Astro Awani
Disember 4, 2023 08:30 MYT
Anggota polis melakukan siasatan susulan kejadian letupan bom di Marawi, Filipina. - Foto AP
MANILA: Kumpulan militan Daesh mengaku bertanggungjawab ke atas pengeboman maut di Misa Katolik di Filipina pada Ahad, yang mengorbankan empat nyawa dan cederakan 50 yang lain.
Serangan itu dilakukan di gimnasium universiti di Marawi, sebuah bandar di selatan negara itu yang dikepung oleh Daesh selama lima bulan pada 2017.
Militan Daesh yang mempunyai pengaruh di selatan negara itu, mengesahkan menerusi Telegram, anggotanya telah meletupkan bom tersebut.
Sebelum pengesahan ini, Ahad lalu Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr mengutuk "perbuatan tidak masuk akal dan paling keji yang dilakukan oleh pengganas asing".
Dalam pada itu, polis dan tentera memperkukuh keselamatan di selatan negara itu dan sekitar ibu negara Manila.
Siasatan terperinci masih dijalankan oleh pihak berkuasa Filipina mengenai serangan tersebut.
#Daesh #Misa Katolik #pengeboman #gimnasium universiti
;