Dadah dalam sabun: Nenek 73 tahun dijatuhkan hukuman mati
Agensi
Julai 1, 2016 10:40 MYT
Julai 1, 2016 10:40 MYT
Sebuah mahkamah di selatan Vietnam menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang nenek berusia 73 tahun atas kesalahan memiliki dan menyeludup dadah heroin yang disembunyikan di dalam ketulan sabun, lapor Reuters.
Mahkamah Rakyat Ho Chi Minh City pada Rabu mendapati Nguyen Thi Huong bersalah kerana memiliki 36 ketul sabun yang disumbat dengan 2.8 kilogram heroin.
Warga emas warganegara Australia etnik Vietnam itu meletakkan dadah berkenaan dalam bagasinya sewaktu hendak menaiki pesawat untuk ke Sydney pada Disember 2014.
Dalam satu kenyataan, kerajaan Australia menyatakan bantahan kepada hukuman mati tersebut.
“Kami prihatin mengenai warga Australia yang dihukum mati di Vietnam. Kami akan terus menawarkan bantuan untuk membantu wanita itu dan keluarganya,” kata kenyataan dari Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan itu.
Akhbar tempatan melaporkan, Huong memberitahu mahkamah bahawa sabun itu telah dihadiahkan kepadanya oleh seorang wanita, dikenali sebagai Helen, ketika mengunjungi bandar pesisiran pantai Vung Tau.
Huong mendakwa Helen yang berbangsa Thailand memberikannya sabun-sabun itu ketika dia sedang bersiar-siar di pantai, lalu mengambil keputusan untuk membawa sabun itu pulang ke Australia tanpa mengetahui kandungannya.
Huong dilihat menangis di dalam mahkamah sewaktu membuat pengakuan itu, sambil meminta simpati dengan menyatakan bahawa dirinya 'sudah tua', 'banyak penyakit' dan menjangka 'tidak dapat hidup lebih lama'.
Bagaimanapun, pihak polis menyatakan bahawa Huong gagal membuktikan kewujudan Helen.
Mahkamah menyatakan bahawa kesalahan itu ‘sangat berbahaya kepada masyarakat’ dan mendapati Huong bersalah.
Huong mempunyai 15 hari untuk merayu bagi mengelak hukuman mati.
Hukuman mati boleh dikenakan di Vietnam sekiranya pesalah membawa 100 gram heroin atau lebih. Pada tahun 2013, negara itu mengguna pakai kaedah suntikan maut bagi melaksanakan hukuman itu berbanding skuad menembak.