Da Nang jadi hos persidangan ASEAN tentang maklumat
Bernama
September 19, 2023 04:20 MYT
September 19, 2023 04:20 MYT
DA NANG: Vietnam akan menjadi tuan rumah Persidangan Menteri ASEAN yang Bertanggungjawab bagi Maklumat (AMRI) dan mesyuarat berkaitan dari 20 hingga 23 Sept ini.
Bertemakan "Media: Daripada Maklumat kepada Pengetahuan untuk ASEAN yang Berdaya Tahan dan Responsif", persidangan itu akan diadakan di Furama Resort Danang, di sini.
Timbalan Menteri Penerangan dan Komunikasi Vietnam Nguyen Thanh Lam berkata AMRI ke-16 itu antara lain akan membincangkan topik seperti menangani salah maklumat dan transformasi media digital.
"Kami gembira menganjurkan AMRI ke-16. Dengan semua negara anggota ASEAN, (kami menyasarkan) bukan sahaja untuk menangani salah maklumat tetapi juga membincangkan tentang transformasi media digital.
"Kami percaya agensi media dan badan kerajaan harus berkongsi matlamat yang sangat penting ini untuk mengubah maklumat kepada pengetahuan, supaya dapat membantu rakyat menjadi lebih berdaya tahan," katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.
Majlis perasmian AMRI ke-16 dijadualkan pada Jumaat (22 Sept) dengan ucapan perasmian disampaikan oleh seorang daripada Timbalan Perdana Menteri Vietnam.
AMRI akan membuka tirai dengan Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN yang Bertanggungjawab bagi Maklumat (SOMRI) di venue yang sama.
Di luar acara itu, Vietnam juga menjadi hos Forum ASEAN tentang salah maklumat hari ini dan Bengkel ASEAN berkenaan Amalan Terbaik Transformasi Digital dalam Media Massa pada 21 Sept.
Selain menteri dan pegawai kanan yang bertanggungjawab bagi maklumat dari negara anggota ASEAN, mesyuarat itu juga akan merangkumi ASEAN Campur Tiga - China, Jepun dan Korea Selatan - serta Timor Leste.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil akan mengetuai delegasi Malaysia ke AMRI manakala Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Datuk Mohamad Fauzi Md Isa akan memimpin SOMRI.
Turut serta sebagai delegasi negara ialah Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan (Japen) Datuk E. Sivabalan, Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin serta pegawai tinggi lain daripada kementerian dan agensinya.
-- BERNAMA