Cuti umum Aidilfitri Indonesia dibawa ke Disember

Agensi
April 10, 2020 12:34 MYT
Pengangkutan awam seperti keretapi menjadi pilihan rakyat Indonesia untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut lebaran. - Gambar fail

INDONESIA akan menangguhkan cuti umum sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ke bulan Disember ekoran penularan pandemik COVID-19.

Keputusan itu dibuat kerana pemerintah gusar tradisi mudik lebaran (balik kampung sempena lebaran) yang menjadi acara tahunan di negara itu akan menyebabkan penularan COVID-19 sukar dikawal.

Portal The Jakarta Post melaporkan, umat Islam dijangka menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan pada 23 April ini.

Mudik lebaran sudah menjadi kewajipan kepada sebilangan besar rakyat Indonesia terutama mereka yang mencari rezeki di kota-kota besar.

Kelazimannya, golongan ini akan Kembali bersama keluarga mereka di penghujung bulan Ramadan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Pemerintah Indonesia menganggarkan, seramai 20 juga rakyatnya akan terlibat dalam acara tahunan dengan sejumlah kecil daripada sudah meninggalkan beberapa kota besar dan pulang ke kampung halaman sekalipun ditegah daripada berbuat demikian daripada pihak berkuasa kesihatan.

Cuti umum Aidilfitri yang sebelum ini ditetapkan pada 26 hingga 29 April akan dibawa ke 28 hingga 31 Disember, kata Menteri Koordinasi Pembangunan Sumber Manusia dan Kebudayaan, Muhadjir Effendy.

“Polisi yang dibuat ini adalah susulan daripada arahan daripada Presiden berhubung dengan rayuan agar tidak mudik lebaran serta susunan semula cuti umum Aidilfitri 2020,” kata Muhadjir.

Dua pertubuhan Islam terbesar Indonesia, Nahdlatul Ulama dan Muhammadiyah sebelum ini turut menasihatkan rakyat di negara itu agar menimbang semula keputusan untuk mudik lebaran.

#Aidilfitri #COVID19 #cuti umum #hari raya #Hari Raya Aidil Fitri #ibadah puasa #Indonesia #Mudik Lebaran #Ramadan
;