Cubaan seludup, warga Rusia ditahan sumbat orang utan dalam bakul

Astro Awani
Mac 23, 2019 07:28 MYT
Orang utan itu telah diberikan dadah supaya tidur selama dua tiga jam dan dimasukkan ke dalam sebuah bakul. - The Jakarta Post
Pegawai Kuarantin di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Bali berjaya menghalang seorang warga Rusia daripada cuba menyeludup orang utan berusia 2 tahun ke Rusia
Ketua pejabat kuarantin lapangan terbang, Dewa Delanata, orang utan itu telah diberikan dadah dan dimasukkan ke dalam sebuah bakul rotan.
Jelas Dewa, pegawai kuarantin dan keselamatan lapangan terbang menemui orang utan itu ketika menahan pelancong Rusia terbabit di kawasan pelepasan antarabangsa pada 10:30 pagi Jumaat.
"Pada mulanya, kami fikir ia adalah monyet. Pegawai-pegawai takut untuk membuka bakul, kerana mereka fikir monyet itu akan agresif dan lari.
“Kami kemudiannya membawa bakul itu ke bilik untuk pemeriksaan lanjut. Setelah dibawa ke bilik pemeriksaan, kami terkejut kerana ia adalah orang utan," dia dipetik berkata The Jakarta Post.
Warga Rusia itu, dikenali sebagai Andrei Zhestkov, mendakwa telah membeli orang utan itu dengan harga AS$3,000 (RM12,000) dan memberikan haiwan itu dadah supaya ia tidak sedar selama dua hingga tiga jam.
"Orang Rusia itu juga mempunyai suntikan dan ubat-ubatan di dalam begnya," kata Dewa.
Pegawai itu juga menemui dua cicak gecko dan lima cicak biasa dalam beg pakaian warga Rusia berkenaan.
Kes itu telah dilaporkan kepada polis lapangan terbang untuk siasatan lanjut dan orang utan berkenaan telah diserahkan kepada Agensi Pemuliharaan Sumber Asli Bali (BKSDA) untuk diberi rawatan.
Sementara itu, pegawai konservasi Bali, Ketut Catur Marbawa, dilaporkan berkata pelancong Rusia berusia 27 tahun itu turut membungkus susu formula bayi dan selimut untuk orang utan tersebut.
“Zhestkov ini juga dilihat sudah bersedia dengan segala kelengkapan seperti mahu membawa keluar seorang bayi,” katanya kepada AFP pada Sabtu.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda AS$7,000 (RM28,000) atas kesalahan menyeludup, tambahnya.
Orang utan secara umumnya dikategorikan sebagai spesis haiwan terancam menurut Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa.
Jumlahnya dilaporkan hanya tinggal 100,000 ekor di seluruh dunia.
#Bali #Dadah #Jakarta #keselamatan #Orang Utan #seludup #siasatan
;