Cubaan gulingkan kerajaan Guinea-Bissau mungkin berkait dengan sindiket dadah

Astro Awani
Februari 2, 2022 11:19 MYT
Anggota tentera Guinea-Bissau dilihat selepas serangan ke atas bangunan kerajaan pada Selasa. - Foto REUTERS
BISSAU: Cubaan menggulingkan kerajaan Guinea-Bissau di barat Afrika telah menyebabkan puluhan pasukan keselamatan terkorban.
Presiden Umaro Cissoko Embalo berkata, situasi ketika ini terkawal selain menyifatkan tindakan beberapa pihak sebagai "serangan terhadap demokrasi yang gagal".
Sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah bangunan kerajaan pada Selasa di ibu kota Bissau, di mana Embalo sedang menghadiri mesyuarat kabinet.
Media tempatan melaporkan seorang anggota polis maut selepas ditembak kumpulan itu dalam insiden berkenaan.
Pemimpin serantau menyelar tindakan anggota tentera tersebut dan menggesa mereka kembali ke pangkalan.
Namun kejadian sebenar masih samar dan kumpulan lelaki bersenjata berkenaan masih belum dikenal pasti.
Embalo juga tidak memberi angka korban yang sebenar.
Guinea-Bissau, yang juga antara negara termiskin dalam dunia, telah menyaksikan sembilan cubaan menggulingkan kerajaan sejak 1980.
Berdepan dengan beban hutang kerajaan tinggi dan meningkat serta ekonomi yang bergantung kepada bantuan negara luar, Guinea-Bissau menjadi pusat persinggahan sindiket pengedaran dadah dari Amerika Latin.
Ia juga pernah digelar sebagai negara dadah pertama di Afrika.
#Guinea-Bissau #cubaan menggulingkan kerajaan #Umaro Cissoko Embalo #Afrika
;