Cuba pecat Menteri Ekonomi, Alejandro Gil

Agensi
Februari 3, 2024 08:15 MYT
Presiden Miguel Díaz-Canel memecat Menteri Ekonomiketika kontroversi terus meluas berhubung penangguhan langkah-langkah yang baru diumumkan untuk menaikkan harga bahan api dan tambang pengangkutan di negara itu. - Gambar fail Reuters
HAVANA: Presiden Cuba, Miguel Díaz-Canel memecat Menteri Ekonomi, Alejandro Gil ketika kontroversi terus meluas berhubung penangguhan langkah-langkah yang baru diumumkan untuk menaikkan harga bahan api dan tambang pengangkutan di negara itu.
Dalam pada itu, Majlis Negara telah melantik Presiden Bank Pusat, Joaquín Alonso yang berusia 60 tahun untuk menggantikan Gil.
Kontroversi ini berlaku hanya dua hari selepas kerajaan Cuba menangguhkan kenaikan harga minyak petrol lima kali ganda yang dirancang pada 1 Februari, dengan memaklumkan serangan siber dari luar Cuba telah menghalang pelaksanaannya.
Keputusan ini, yang diikuti dengan pengumuman serupa untuk menangguhkan kenaikan kadar pengangkutan awam telah menggoyahkan satu rancangan ekonomi yang lebih besar untuk menangani defisit fiskal yang semakin meningkat di Cuba.
Kenaikan harga yang dirancang Gil, yang diumumkan pada bulan Disember dan awal Januari lalu dilaporkan menggoyah Cuba, di mana penduduknya telah lama bergantung pada program besar makanan, bahan api, dan ubat-ubatan yang disubsidi kerajaan.
Miguel Diaz-Canel turut mengumumkan beberapa perubahan dalam kabinetnya pada Jumaat yang melibatkan pemecatan Menteri Sains, Teknologi, dan Alam Sekitar, Elba Rosa Perez.
Beliau digantikan oleh Dr Eduardo Martinez yang merupakan seorang Ahli Parlimen dan Presiden BioCubaFarma, sebuah syarikat farmaseutikal Cuba. - Agensi
#petrol #serangan siber #Cuba #pecat menteri
;