Cuaca sejuk melampau: Bandar di seluruh AS mula membeku
Astro Awani
Januari 4, 2018 08:07 MYT
Januari 4, 2018 08:07 MYT
Bandar di seluruh Amerika Syarikat kini berdepan cuaca sejuk melampau dan salji tebal.
Situasi ini menimbulkan kebimbangan di kalangan doktor terhadap serangan radang dingin dan hiportemia sekiranya langkah berjaga-jaga tidak diambil.
“Radang dingin boleh menyerang seawal 10 minit sekiranya anda terdedah dalam cuaca sejuk melampau seperti yang kita hadapi sekarang ini,“ ujar Pakar Perubatan di Jabatan Kecemasan di Pusat Perubatan Universiti Rush di Chicago.
Katanya, telinga, hidung dan kaki boleh mengalami kerosakan sekiranya terdedah kepada cuaca sejuk melampau itu.
Malah ia juga berisiko terkena serangan jantung.
“Kami secara rutin melihat kes-kes di mana orang memandang remeh cuaca sejuk di luar atau berapa lama mereka rasa boleh berada di luar.
Ia meletakkan anda dalam bahaya. Situasi ini membolehkan anda mendapat kecederaan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, komuniti di New England, mengumumkan penutupan sekolah dan larangan meletakkan kenderaan di jalanan susulan jangkaan ribut salji akan melanda rantau berkenaan.
Datuk Bandar Boston, Marty Walsh memaklumkan, sekolah akan ditutup pada Khamis kerana cuaca tersebut.
“Sekolah Awam Boston akan ditutup pada Khamis. Seperti biasa, Sekolah Awam Boston akan memaklumkan keluarga pelajar di sekolah ini untuk memberi amaran kepada mereka tentang perubahan tersebut.
"Jadi, ibu bapa boleh membuat urusan untuk mendapatkan penjagaan anak jika perlu,“ ujarnya.
Pada masa sama beliau turut mengingatkan penduduk sekitar agar memainkan peranan masing-masing bagi memastikan keselamatan terjaga.
“Kami meminta orang ramai agar menjauhi jalan-jalan utama supaya kerja-kerja pembersihan jalan dapat dijalankan dengan lancar.
Tolong juga pastikan anak-anak berada dalam rumah. Kami tidak mahu mereka berada di jalanan kerana dibimbangi akan dilanggar trak yang menolak salji,” tegasnya.