Cuaca panas: Singapura longgarkan peraturan pakaian seragam sekolah

Agensi
Mei 12, 2023 16:27 MYT
Pihak sekolah juga akan mengingatkan pelajar supaya kekal terhidrat dengan meminum banyak air sepanjang hari. - Gambar hiasan
SINGAPURA: Beberapa buah sekolah di Singapura mengambil langkah melonggarkan peraturan pemakaian seragam sekolah berikutan keadaan cuaca panas.
Portal Channel NewsAsia melaporkan, dalam satu notis yang dihantar kepada ibu bapa minggu lalu daripada Sekolah Rendah Henry Park, peraturan pemakaian pakaian seragam sekolah akan dilaraskan untuk tempoh antara 5 hingga 26 Mei.
Para pelajar dibenarkan untuk membiarkan kemeja polo mereka dilepaskan dari disemat ke dalam seluar.
Pelajar perempuan juga, jika tidak mahu memakai skirt, boleh memilih untuk memakai kemeja dengan seluar pendek seperti yang dipakai dalam waktu pendidikan jasmani.
“Walaupun pihak kami membuat pelarasan kelonggaran ini demi keselesaan para pelajar, kami meminta kerjasama ibu bapa untuk memastikan anak-anak masing-masing dalam keadaan yang kemas dan berketrampilan,” ujar notis itu.
Tambah notis itu lagi: “Kami juga akan mengingatkan para pelajar supaya kekal terhidrasi dengan meminum banyak air sepanjang hari.”
Mei lazimnya merupakan bulan yang paling panas setiap tahun, menurut Jabatan Meteorologi Singapura.
Dengan keadaan cuaca panas dan lembap sejak April dan berlanjutan ke separuh pertama Mei, suhu maksimum harian dijangka mencecah 34 darjah Celsius pada sebelah petang.
Sementara pada hari-hari yang menyaksikan liputan awan yang berkurang, suhu maksimum boleh mencecah 35 darjah Celsius.
#cuaca panas #seragam sekolah #Singapura #pelajar sekolah
;