Cuaca panas: Patung lilin replika Abraham Lincoln cair di kepala

Astro Awani
Jun 27, 2024 01:15 MYT
Patung lilin replika Abraham Lincoln dilihat tidak dapat menampung suhu panas yang melanda Washington DC. - Foto REUTERS
WASHINGTON DC: Suhu yang membahang hampir 100 darjah Fahrenheit atau 37 darjah Selsius sejak beberapa hari lalu telah mencairkan secara perlahan patung lilin setinggi 1.8 meter di Memorial Lincoln.
Patung lilin replika Abraham Lincoln dilihat tidak dapat menampung suhu panas yang melanda Washington DC minggu ini, menyebabkan sebahagian daripada kepalanya jatuh.
Patung berkenaan didirikan sebagai satu penghormatan kepada presiden ikonik Amerika Syarikat ke-16 itu.
Pengarah Eksekutif dan Kurator Culturaldc, Kristi Maiselman berkata, kejadian berkenaan telah membawa kepada satu siasatan dan pemerhatian kesan projek mereka ke atas cuaca panas.
Bagaimanapun, Maiselman berkata, bahagian kepala itu berkemungkinan tidak akan dipasang semula pada musim panas ini kerana bimbang risiko ia akan jatuh semula dan mengalami kerosakan tambahan.
Pembinaan patung lilin berkenaan menggunakan lilin sebenar dengan sumbu dan ia sebahagian daripada satu siri patung monumen lilin yang ada di sana.
#Washington #cuaca panas #Amerika Syarikat #patung Abraham Lincoln