Cuaca buruk, semua penerbangan di Lapangan Terbang Stansted UK dibatalkan
Faida Rahim
Disember 12, 2022 16:41 MYT
Disember 12, 2022 16:41 MYT
LONDON: Semua penerbangan di Lapangan Terbang Stansted di United Kingdom dilaporkan terpaksa dibatalkan selepas pihak pengurusan menutup landasan akibat cuaca buruk.
Memetik laporan CNN, lapangan terbang Heathrow dan Gatwick juga membatalkan atau menangguhkan penerbangan selepas salji, ais dan kabus tebal melanda sebahagian besar United Kingdom.
Turut dikeluarkan, amaran cuaca peringkat kuning di Scotland, London dan barat daya England sehingga hari ini dan dijangka hujan akan berterusan.
Dalam masa sama, jadual perjalanan kereta api turut ditangguhkan yang mana pemandu diarah untuk berhati-hati selepas beberapa kemalangan dilaporkan.
Pihak pengurusan Stansted memaklumkan landasan kapal terbang telah ditutup bagi membolehkan proses mengalihkan salji tebal.
"Penangguhan penerbangan berlaku lebih awal untuk mencairkan ais di sekitar yang mana keselamatan pesawat dan penumpang adalah keutamaan kami," kata seorang jurucakap.
Sementara itu, penumpang dinasihatkan untuk menyemak dengan syarikat penerbangan untuk mengetahui status semasa penerbangan masing-masing.
Salah seorang penumpang, James Love memberitahu BBC dia terperangkap di dalam pesawat Loganair di Stansted selama beberapa jam.
"Kapten menunggu untuk ais cair di bahagian sayap. Kru lapangan terbang datang untuk lakukan proses itu dan bila pesawat sudah sedia untuk terbang, landasan pula ditutup," katanya.
Bagaimanapun, Love memuji tindakan pihak kakitangan lapangan terbang kerana berjaya mengendali situasi dengan baik.
Sementara itu, lebih 50 penerbangan di Heathrow dibatalkan semalam selepas kabus tebal yang mengakibatkan sekatan kawalan trafik udara.