Cuaca buruk jejas usaha cari mangsa di Gunung Marapi
Bernama
Disember 5, 2023 15:45 MYT
Disember 5, 2023 15:45 MYT
JAKARTA: Usaha mencari dan menyelamat mangsa letusan Gunung Marapi di Sumatera Barat, Indonesia terhalang oleh hujan serta jalan yang lincin, lapor agensi berita Jerman (dpa) memetik seorang pegawai pada Selasa.
Gunung Marapi yang meletus pada petang Ahad dan memuntahkan abu dan awan panas, mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang dan ramai lagi yang cedera. Sekurang-kurangnya 12 orang masih hilang.
"Keselamatan pasukan perlu diutamakan. Hujan sejak malam tadi hingga awal pagi menyebabkan jalan licin dan menghalang pasukan penyelamat turun," kata Abdul Malik, ketua agensi mencari dan menyelamat di Padang.
"Kami berhadapan kesukaran untuk menerbangkan dron disebabkan keadaan cuaca," menurut Malik.
Beliau berkata operasi mencari diteruskan di seluruh kawasan berbatu yang menjadi tempat pilihan pendaki untuk berkhemah.
Beberapa mangsa yang selamat didapati melecur dan dibawa ke hospital. Hanya enam mayat berjaya dikeluarkan dan dikenal pasti, kata pegawai.
Pihak berkuasa menggesa orang ramai, pelancong dan pendaki supaya menjauhi kawasan itu dalam jarak tiga kilometer di sekitar puncak, memakai pelitup muka, topi dan cermin mata semasa di luar rumah bagi melindungi diri daripada abu dan serpihan.
Gunung Marapi merupakan antara gunung berapi paling aktif di Sumatera, sebuah pulau di barat kepulauan Indonesia.
Sebelum Ahad, letusan terakhirnya adalah pada 2018, apabila ia memuntahkan abu dan lahar sehingga lima kilometer ke atmosfera.
Gunung berapi itu adalah sebahagian daripada Lingkaran Api Pasifik, rangkaian aktiviti seismik di sekitar Lautan Pasifik. Indonesia mempunyai lebih daripada 120 gunung berapi aktif, menjadikannya terdedah kepada bencana letusan gunung berapi.
-- BERNAMA